( Artikel ini diterbitkan dalam ruangan Fitrah, Majalah SOLUSI)
Dalam isu yang lalu, penulis menyentuh
perihal kepentingan mempunyai kemahiran menangani kepelbagaian dalam sebuah
komuniti yang heterogenous dan
majmuk. Pegangan agama dan anutan kepercayaan adalah satu aspek kepelbagaian
yang mesti ditangani dengan sebaik mungkin, agar tidak tercetus persengketaan
dan permusuhan yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan kehidupan
bermasyarakat.
Namun, sejarah dunia menunjukkan
betapa banyak peperangan dan rusuhan yang tercetus atas nama agama dan
perjuangan mempertahankan kesuciannya. Sekalipun sama warna kulit dan
pertuturan bicara dalam kelompok manusia yang tinggal berjiran dalam lokasi
geografi yang sama, namun atas dasar kelainan kepercayaan dan anutan agama,
telah banyak nyawa yang melayang dan darah yang tumpah – meninggalkan kesan
parut luka yang berpanjangan. Tidak hairan sekiranya ramai pencinta kedamaian
yang menuntut agar agama tidak dijadikan pemisah dan pencetus konflik. Timbullah
aliran pemikiran yang menuntut agar agama diketepikan dari kehidupan manusia.
Dalam lirik lagu Imagine dendangan
kugiran terkenal tahun 60an,`The Beatles’ – menyeru manusia berimaginasi
alangkah damainya kehidupan di dunia ini sekiranya tiada factor-faktor pemisah
seperti sempadan geografi negara dan juga agama :
Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...
Kepelbagaian agama ditangani dengan
tiga pendekatan yang sama, sebagaimana yang diterangkan dalam artikel yang
lalu. Pendekatan tersebut berdasarkan tanggapan sama ada kepelbagaian tersebut
adalah sesuatu liabiliti yang mesti ditolak dan diperangi, keadaan yang
diterima demi keharmonian bersama atau kekuatan yang mesti diraikan.
Ketaksuban menonjolkan identiti dan
citra beragama membawa sesuatu kelompok agama yang merasakan dan menganggap
diri mereka lebih suci, mulia dan terpuji di sisi Tuhan, jika dibandingkan dengan
kelompok agama yang lain. Sikap `exclusivism’
ini menebal dan menjadi penghalang untuk sebarang usaha integrasi dengan
penganut agama yang lain. Malahan kelompok ini tidak teragak-agak untuk
bertindak `menghalalkan’ darah dan nyawa golongan lain untuk dibunuh demi
menjaga kepentingan dan kesucian agama
mereka. Peristiwa tragedi berdarah Kosovo dan Ambon-Maluku menjadi contoh yang
masih segar di ingatan generasi manusia – bagaimana kepelbagaian agama menjadi
pencetus perang saudara yang kejam, ganas dan bermaharajalela. Regim kejam
Zionis Israel sekian lamanya, menganggap mereka manusia suci, sedangkan
golongan bukan Yahudi yang lain hanyalah sekadar `goyim’atau manusia lembu (
human cattle)!
Terdapat satu lagi kelompok agama yang
bersifat lebih sederhana, yang dianggap inklusivis (inclusivism). Sikap toleransi dan mesra, tiada kekok ataupun
canggung, disemai dan dipraktikkan di antara penganut agama berbeza, yang
tinggal bersama dalam satu komuniti. Demi untuk menjaga keharmonian, setiap
kelompok agama berhati-hati menjaga batasan serta sensitiviti. Namun
kebiasaannya, setiap kelompok agama akan tetap merasakan agama merekalah yang paling
tinggi dan berada di atas landasan kebenaran. Tidak mustahil keharmonian ini
akan tergugat sekiranya ada individu atau kelompok yang bertindak mencemuh,
menghina atau memperkecilkan kelompok yang lain. Tindakan tersebut akan
menghasilkan tindakbalas negative dari pihak yang diperkecilkan, dan akhirnya
boleh juga membawa kepada ketegangan, permusuhan dan persengketaan.
Pendekatan kelompok ketiga lebih menjurus
kepada `meraikan’ kepelbagaian agama. Muncullah pendekatan `pluralistic’ yang boleh diringkaskan begini : wujudnya satu Tuhan,
namun pelbagai jalan menuju kepada-Nya. Kelompok in menganggap beberapa jalan yang
dikenali sebagai agama lebih memperjelaskan sistem kepercayaan yang mempunyai ciri-ciri
khusus yang perlu diamalkan oleh penganut agama tersebut untuk sampai kepada
kebenaran ketuhanan. Pendekatan ini dijulang sebagai satu-satunya cara untuk
menggapai keamanan dan kedamaian di dunia yang sentiasa bergolak ini. Setiap
kelompok agama dilarang menonjolkan kehebatan dan kelebihan agama serta menzahirkan
syiar agama masing-masing sebaliknya harus turut sama meraikan hari kebesaran
dan perayaan agama kelompok lain untuk menunjukkan semangat setiakawan dan
muhibbah. Akibatnya, berlaku satu proses `neutralisasi’ terhadap nilai
beragama, sehingga mendorong manusia tidak lagi berusaha mengekalkan identiti
agamanya, bimbang dia dianggap seorang fanatik dan ektremis oleh
rakan-rakannya.
Pemikiran pluralitik ini semakin
menular di kalangan generasi muda hari ini, demi satu misi perkongsian hidup
tanpa sengketa dan perbalahan. Kepercayaan agama dianggap satu pilihan yang
menjadi hak asasi individu, yang tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain. Ianya
juga menjadi slogan popular yang dicanangkan oleh pemimpin dunia sebagai satu
kaedah penyatuan dan perpaduan masyarakat majmuk. Perkahwinan campur antara agama menjadi manifestasi kepada
pegangan pluralistik ini. Akibatnya, terhakislah keyakinan dan keimanan,
kecintaan dan keprihatinan serta identiti agama seseorang itu.
Bagaimana Islam mengajar umatnya berhadapan
dengan kepelbagaian agama ini? Islam sebagai cara hidup yang syumul
menggariskan dengan terperinci pendekatan yang mesti diambil oleh umat Islam,
agar tidak tergadai iman dan citra beragama yang menjadi identiti selama ini.
Dalam masa yang sama, Islam tidak mendorong perpecahan dan perbalahan atas nama
agama, melainkan terjadinya ugutan dan usaha jelas bermusuhan yang menggugat
keselamatan nyawa dan hartabenda.
Islam menggariskan pendekatan ekslusif
tanpa kompromi dalam aspek aqidah dan kepercayaan. Al –Quranul karim menekankan
perlunya ketegasan menzahirkan keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap
keesaan Allah SWT. Perhatikan mafhum Surah Al-Kafirun menjadi asas kepada
ketegasan ini :
Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang
kamu sembah.
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula)
menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku".
Ketegasan menzahirkan aqidah yang
sohih inilah yang mesti dipegang oleh
umat Islam apabila berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat Islam tidak
harus takut dan ragu-ragu untuk menyatakan ketegasan ini semata-mata untuk
menjaga hati kelompok agama yang lain. Dengan akhlak yang baik dan pendekatan
yang berhikmah, umat Islam mesti menyatakan pendirian tegas mereka bila
berhadapan dengan persoalan mengenai kepelbagaian agama. Kejelasan fikrah
terhadap aqidah yang satu ini akan menghasilkan individu dan keluarga Muslim
yang mantap jati diri dan citranya, tidak kabur dan terumbang-ambing.
Namun dalam aspek yang lain, khususnya
dalam hubungan sesama manusia, Islam mengambil pendekatan yang amat inklusif
dan meraikan kepelbagaian yang wujud, demi untuk menghasilkan suasana perpaduan
yang aman damai. Islam menggalakkan sikap hormat menghormati dan rasa kasih
sayang untuk disemai dengan subur di kalangan kelompok yang berlainan agama.
Rasulullah SAW telah banyak menunjukkan contoh teladan yang memberi pedoman
bagaimana umat Islam harus berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat
Islam dilarang mencemuh dan menghina sembahan serta ritual agama yang lain,
kerana dibimbangi tindakan sebegitu akan mencetuskan reaksi balas yang negatif,
seterusnya membawa kepada persengketaan dan permusuhan yang berpanjangan.
Perhatikan mafhum ayat 108, Surah Al- AnĂ¡am :
Dan janganlah kamu memaki sembahan yang
mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan
melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat
menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali
mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.
Betapa dunia hari ini perlu kepada
kaedah pendekatan yang ditonjolkan oleh Islam ini, demi menjamin kesejahteraan
dan perpaduan bersama.
Loves,
Dr. Har
No comments:
Post a Comment