Artikel ruangan Fitrah kali ini membawa tema yang
begitu hampir dengan kehidupan kita sebagai manusia yang menghuni bumi Allah
SWT ini buat sementara waktu. Elok benar kiranya kita menyingkap aspek
kepelbagaian atau diversity yang
berada di sekeliling kita. Mengapa Allah SWT menciptakan makhluk-Nya dengan
segala kepelbagaian – baik dari jenis, rupa, bentuk, saiz, warna, bunyi dan bahasa
pertuturan serta baka keturunan? Jawapan kepada persoalan tersebut diperolehi
dari beberapa ayat Al-Quranul karim seperti yang diperturunkan di bawah :
Mafhum ayat 17, Surah An-Nahl :
Dan Dia
(menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berbagai jenis dan macam warnanya.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan
Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.
Mafhum ayat 22, Surah Ar-Ruum :
Dan di antara
tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu.
Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi
orang-orang yang mengetahui.
Mafhum ayat 13 Surah
Al-Hujuraat :
Hai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang
paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Jelas sekali, tujuan utama Allah SWT menciptakan
makhluk ini dengan segala kepelbagaian semata-mata untuk menjadi tanda nyata
kebesaran dan keagungan-Nya. Dengan kepelbagaian tersebut, Allah SWT mewarnakan
kehidupan kita dengan penuh seri. Manusia perlu mengambil kesempatan saling
berkenalan dan beramah mesra, sekalipun datang dari suku kaum dan bangsa yang
berbeza.
Allah SWT dengan penuh kekuasaan mampu sekali
menciptakan kelompok manusia yang satu – seia dan sekata. Namun, Allah
menjelaskan kepelbagaian dan `complexity’
yang ada bertujuan menguji keupayaan manusia tunduk patuh kepada perintah-Nya,
sebagaimana yang dinyatakan dalam mafhum ayat berikut :
Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia menjadikan
kamu satu umat, akan tetapi Allah membiarkan sesat sesiapa yang dikehendakiNya
dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sesungguhnya kamu
akan ditanya kelak tentang apa yang kamu kerjakan.
Surah An-Nahl : ayat 93
Secara amnya, manusia menangani kepelbagaian
dengan tiga cara utama.
Pertama – bertindak menolak dan membenci apa yang
nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya
jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza
dengannya. Tanggapan tersebut berpunca dari perasaan takabbur, bongkak dan
sombong yang bersarang di dalam hati. Perasaan tersebut sentiasa menimbulkan
kecurigaan, sangkaan buruk dan sifat permusuhan yang boleh berkesudahan dengan
persengketaan yang berlarutan.
Sementara cara kedua – menerima kepelbagaian
sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi
dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni
dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza.
Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan. Masing-masing
sentiasa berhati-hati, bimbang menyinggung dan menyakitkan perasaan pihak yang
berlainan. Silap perhitungan, silap haribulan – sengketa boleh tercetus
bila-bila masa sekiranya terdapat pihak yang merasa tercabar dan dicabar
kewibawaannya.
Apa yang diidam-idamkan, adalah cara ketiga menangani
kepelbagaian, iaitu dengan meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut
sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang
ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang
mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu
kemajuan bersama.
Dalam sebuah negara yang menaungi rakyat pelbagai
bangsa, keturunan, agama dan budaya seperti Malaysia, tidak dapat dinafikan
kepentingan kesefahaman, sikap tolak ansur, toleransi dan hormat menjadi asas
batu pelantar tonggak keamanan dan keharmonian bersama. Rakyat pelbagai kaum
tidak boleh dibiarkan hidup dalam polarisasi, namun tidak harus juga
digabungkan dan dicampuradukkan sehingga melunturkan serta mencairkan citra,
identiti dan tradisi warisan yag dipusakai turun temurun. Keseimbangan tersebut
amatlah kritikal dan perlu diusahakan menjadi agenda bersama yang utama di
setiap peringkat masyarakat. Kepelbagaian ini meningkatkan cabaran dan
kompleksiti yang mesti dihadapi oleh anggota masyarakatnya, dibandingkan dengan
sebuah komuniti yang begitu homogenous
– sebangsa, seagama, sebudaya.
Kemahiran menangani kepelbagaian (managing diversity) perlu dikuasai
sepenuhnya untuk memastikan kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya suatu bebanan
dan liabiliti! Usaha menyambung dan menjalin hubungan (bridging, engagement) di antara kelompok yang begitu banyak
perbezaan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten dari semua pihak. Perasaan
takabbur, sombong dan meninggi diri yang menjadi penghalang besar kepada
sebarang usaha perpaduan mestilah segera diganti dengan perasaan
hormat-menghormati. Menzahirkan tanggapan `aku lebih tinggi dan mulia dari kamu
( I am holier than thou) akan
menatijahkan perkataan, perbuatan dan sikap berbau diskriminasi, prejudis dan
bias terhadap pihak yang dipandang lebih rendah dan hina. Penindasan,
ketidakadilan dan sengketa yang berpanjangan akan mewarnai kehidupan
masyarakat. Sedangkan manusia ini sebenarnya, mempunyai lebih banyak persamaan
yang dikongsi, sementara perbezaan adalah jauh lebih sedikit.
Antara usaha murni menangani kepelbagaian di
kalangan masyarakat Malaysia yang sudah dimulakan adalah penganjuran sesi
dialog, perbincangan dan forum inter-agama (interfaith). Penulis sendiri berpeluang
dijemput beberapa kali untuk menjadi panelis dalam sesi perbincangan silang
agama ( interfaith discussions) yang
dianjurkan oleh banyak organisasi termasuk NGO dan beberapa persatuan mahasiswa
di institusi pengajian tinggi. Tema dan tajuk perbincangan yang dikupas banyak
menjurus kepada isu sepunya yang dikongsi bersama – contohnya tema berkaitan
institusi kekeluargaan, amalan perubatan, isu kontroversi berkaitan kemajuan sains yang membabitkan
nyawa, nasab keturunan. Amatlah penting untuk mempunyai sikap yang betul
sebelum seorang individu melibatkan diri secara aktif di dalam perbincangan
interfaith. Dia tidak sesekali boleh menggunakan ruang interfaith tersebut untuk mempromosi agamanya dengan cara
merendah-rendahkan pula agama yang lain yang diwakili dalam sesi tersebut.
Tujuan utama adalah untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak
seagama untuk memahami apa, kenapa dan bagaimana agama yang dianuti mencorak
segala aspek kehidupan masing-masing. Di akhir sesi interfaith, seharusnya timbul rasa hubungan kemesraan dan
hormat-menghormati antara satu sama lain, yang akan membuahkan keharmonian yang
benar-benar mantap. Dalám konteks ini, Allah SWT telah menggariskan pendirian
`lakum deenu kum wali yadin’sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah
Al-Kafiruun. Wajarlah bagi umat Islam menjadi pelopor kepada engagement dan hubungan dua hala dengan
kelompok non-Muslim dan bukannya bertindak kedekut – menyimpan keindahan dan
kerahmatan Islam di dalam poket baju masing-masing serta tidak dikongsi
bersama!
Loves,
Dr. Har
No comments:
Post a Comment