Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

KENYATAAN MEDIA IKRAM: Penganjuran Seksualiti Merdeka Menongkah Prinsip Islam Dan Fitrah Kemanusiaan

>> Friday, November 4, 2011



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 November 2011

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menganggap penganjuran Program Seksualiti Merdeka adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip akhlak dalam Islam dan fitrah kemanusiaan sejagat.

Program Seksualiti Merdeka bertujuan memperjuangkan kesamarataan dalam pengamalan seks dan menentang diskriminasi ke atas golongan-golongan LGBTIQ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual, Intersexual and Queer).

IKRAM ingin mengingatkan bahawa usaha untuk menyebarkan amalan-amalan seks yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan ini akan hanya membawa kepada kemusnahan individu, masyarakat dan negara.

Allah swt telah mengingatkan umat manusia untuk menjauhi amalan seks yang melampaui batas ini melalui firmanNya dalam Surah Al-A’raaf, ayat 80 – 81 yang bermaksud:

"Dan (Kami mengutus) Nabi Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, Mengapa kamu melakukan perbuatan keji, yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu (di dunia ini). Sungguh, kamu telah melempiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.’"

Mereka yang terlibat dengan amalan seks yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan ini secara umumnya terbahagi kepada dua golongan:

1. Golongan yang berhadapan dengan masalah kecelaruan identiti gender

2. Golongan yang jelas identiti gendernya tetapi celaru dalam orientasi seksualnya dan sengaja memilih pasangan sejenis.

IKRAM insaf dan maklum tentang kewujudan segelintir kecil golongan manusia yang diciptakan Allah swt yang mempunyai permasalahan kecelaruan identiti gender kerana faktor biologikal, penderaan-penderaan fizikal, seksual, psikologi, emosi dan mental atau faktor-faktor persekitaran yang lain. Namun, Islam telah menyediakan garis panduan yang seimbang dan sejahtera untuk mengurus dan mengatasi kecelaruan ini.

Bagi golongan kedua, yang berhadapan dengan masalah kecelaruan orientasi seksual, Islam menegaskan bahawa golongan ini hendaklah kembali kepada fitrah kemanusiaan untuk kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. IKRAM menolak sebarang usaha untuk menyebar amalan seksual yang bertentangan dengan syariah Islam dan fitrah kemanusiaan. IKRAM juga menolak kehendak sebilangan golongan yang mempunyai kecelaruan identiti untuk diberikan hak melakukan hubungan seks songsang seperti hubungan homoseksualiti dan biseksualiti.

Hubungan jenis ini membuka ruang kepada hubungan seks rambang, tiada pertanggungjawaban, penyebaran nilai-nilai yang tidak bersopan, pornografi, penyembahan seks serta penyebaran pelbagai jenis penyakit kelamin. Kajian saintifik yang dilakukan oleh banyak pihak di barat telah memberi amaran bahawa hubungan homoseksualiti dan biseksualiti boleh menghancurkan sesebuah masyarakat dan negara.

Golongan LGBTIQ sebenarnya merupakan satu kelompok manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Usaha hendaklah dilakukan oleh mereka yang pakar untuk mendampingi golongan LGBTIQ dan membimbing mereka agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan biasa dan tidak tersisih dari masyarakat.

Sehubungan itu IKRAM mendesak agar:

1. Usaha untuk menyebarkan amalan-amalan seks songsang dan bebas ini dihentikan serta merta.

2. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Agama Negeri dan NGO-NGO Islam dan bukan Islam hendaklah berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi membantu golongan yang mengalami kecelaruan seksual ini.

3. Masyarakat umum hendaklah sedaya upaya membantu mereka yang ingin kembali kepada fitrah asal kemanusiaan.

IKRAM juga ingin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membantu golongan LGBTIQ ini dengan menawarkan kepakaran yang wujud dalam Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga IKRAM (PAKSI – IKRAM).

IKRAM bersedia berdialog dengan pihak penganjur Seksualiti Merdeka bagi mencari jalan terbaik ke arah membangunkan negara yang maju dan sejahtera. Semoga Allah swt merahmati masyarakat dan negara kita yang tercinta.



Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

sumber asal: IKRAM: Penganjuran Seksualiti Merdeka Menongkah Prinsip Islam Dan Fitrah Kemanusiaan

Read more...

KENYATAAN MEDIA JIM: TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

>> Wednesday, February 24, 2010

Kenyataan Media Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
22 Februari 2010

TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi. Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk ` Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas. Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan.

JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya. Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain.

Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar :

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkahlaku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.

Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis.

JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

Kenyataan Media JIM mengenai pembuangan bayi

>> Thursday, February 18, 2010



Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
12 Februari 2010

ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!

JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).

Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
Tahun2006200720082009 (sehingga Mei)
Jumlah Kes537610233


Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.

Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?

JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.

JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua - dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.

JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.

Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni dalam komuniti. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .

JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas : Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam).

Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.

Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.

Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja! Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.

JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!


Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

KENYATAAN MEDIA Wanita JIM: ISU KARTIKA - Tangani dengan objektif dan rasional

>> Tuesday, September 1, 2009

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

28 Ogos 2009 ( 8 Ramadhan 1430H)

ISU KARTIKA - Tangani dengan objektif dan rasional


Di awal bulan mulia Ramadhan dan di ambang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52, Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburkan isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Menurut perkembangan terkini, hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, atas desakan dan tekanan yang diterima.

Wanita JIM berpandangan perlunya isu ini dilihat dan dinilai dengan penuh objektif dan rasional, tidak semata-mata penuh emosi dan sensasi. Beberapa persoalan penting yang timbul berikutan polemik ini memerlukan jawapan tepat dan tindakan segera agar isu ini dapat selesai dengan cara terbaik, tanpa menggadaikan kredibiliti dan mengaibkan sesiapapun, khususnya institusi kehakiman syariah yang memayungi kehidupan umat Islam di Malaysia selama ini, juga tidak Kartika Sari Dewi dan keluarganya.

Isu hukuman sebat Kartika menimbulkan banyak persoalan, antaranya :

  1. Sejauhmanakah sebenarnya tahap kesungguhan dan kesediaan umat Islam di Malaysia , struktur sistem pentadbiran dan kepimpinan negara yang ditunjangi oleh orang Islam dalam mempraktikkan ajaran Islam yang syumul dan menjanjikan kesejahteraan yang hakiki? Apabila mahkamah syariah di sebuah negeri menghukum dengan peruntukan enakmen yang diluluskan melalui prosedur yang betul, mengapa begitu ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebijaksanaan keputusan tersebut? Bukankah itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah? Bagaimanakah pula caranya kejahilan dan kekeliruan umat Islam ini boleh diatasi – sehingga dibimbangi akidah dan keyakinan mereka begitu mudah terhakis dan tergugat, mengambil pendirian lebih berdasarkan emosi dan bukan berasaskan fakta dan sumber ilmu yang sahih?

  2. Bagaimanakah boleh terjadi ketidakseragaman sistem, di mana apabila hukuman telah dijatuhkan oleh pihak penghakiman berdasarkan bukti dan hujah pihak pendakwaan, pihak pelaksana pula yang belum bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut kepada sipesalah? Di manakah silap dan salahnya, sehingga jelas sungguh ketempangan dan kekurangan yang ada dalam sistem kehakiman syariah di negara ini? Sampai bilakah harus berlaku perkara yang boleh memalukan institusi Islam khususnya dan umat Islam amnya?

  3. Sampai bilakah agaknya, umat Islam di Malaysia terhalang dari menjalani kehidupan beragama sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela diadili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi? Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?
Wanita JIM menuntut jawapan yang tegas dan tindakan susulan yang segera bagi semua soalan-soalan di atas. Selagi mana tiada usaha merungkai persoalan asas tersebut, umat Islam di Malaysia akan terus menerus diselubungi kemelut kekeliruan dan kejahilan yang semakin menebal dan merugikan.

Wanita JIM mendesak agar semua pihak yang `menangguk di air keruh’, menggunakan kemelut isu hukuman sebat Kartika ini sebagai satu lagi `bukti’ ketidakadilan syariah Islam yang dianggap sentiasa menindas wanita, memberhentikan segera tindakan tersebut. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut sepenuh komitmen dan kebijaksanaan yang sewajarnya dari pihak kehakiman syariah di Malaysia agar segera melipatgandakan usaha meningkatkan kredibiliti institusi tersebut demi menjaga maruah dan nama baik Islam di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Untuk Kartika Sari Dewi dan keluarganya, Wanita JIM mendoakan agar Allah SWT terus memberikan kekuatan dan sokongan untuk beliau menghayati kehidupan Islam yang sejahtera. Segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan

Semoga kemelut isu Kartika juga menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita Pusat
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

KENYATAAN MEDIA Wanita JIM: Perutusan Hari Ibu 2009

>> Saturday, May 9, 2009

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera. Berikut adalah kenyataan media yang telah di keluarkan oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj yang telah berlangsung di Pusat Komuniti JIM, Pusat Bandar Melawati pada 8 Mei 2009. Kenyataan ini dikeluarkan sempena Sambutan Hari Ibu yang akan disambut pada 10 Mei 2009. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat daripada kenyataan media ini.

Terima Kasih


KENYATAAN MEDIA Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Sempena Sambutan Hari Ibu 2009
8 Mei 2009

PERANAN IBU MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BEBAS JENAYAH DAN GEJALA SOSIAL

Perutusan media Wanita JIM sempena Hari Ibu 2009 didahulukan dengan rakaman ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga orang ibu yang menjadi korban jenayah ragut dalam minggu ini, iaitu arwah Jamilah Selamat, 31 tahun dari Air Hitam Johor, Saripah Mohd. Nor, 33 tahun dari Ketereh Kelantan dan ibu warga emas, Tom Salleh yang berusia 86 tahun dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, kedua ibu muda tersebut juga didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.

Apa yang nyata, jenayah ragut semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk tanahair. Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah bulan lalu, jenayah ragut di ibu negara semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Statistik mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes pada bulan Januari hingga April, berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu. 50% dari kes ragut ini dikatakan dilakukan oleh penagih dadah yang perlu mendapatkan wang untuk bekalan dadah harian mereka, di samping faktor pengangguran akibat kemelesetan ekonomi.

Dalam masa yang sama, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Masyarakat amnya hanya cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!

Wanita JIM akur sesungguhnya tiada penyelesaian simplistik dan jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Tidak dapat dinafikan, pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan wanita dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.

Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :

1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.

5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.
Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat 2007-2009

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP