Pewaris Harapan Ummi dan Ayah

>> Tuesday, September 21, 2010


Salam

Ingin dikongsikan gambar terbaru sempena Aidilfitri yang baru lalu, wajah ceria tiga orang cahayamata, pengarang jantung, si buah hati, penyejuk qalbu kami berdua - Ustaz Zul dan Dr.Har. Kelihatan jelas kehijauan latar - suasana permai kampung di Baling, Kedah.

Mohon didoakan :

  • Syifa' Hana, puteri sulong si manis 17 yang bakal menduduki SPM November ini bersama rakan seperjuangan di KISAS.
  • Muhammad Anwar Syamil - anak soleh berusia 13 tahun - semoga sentiasa diberikan Allah SWT kekuatan dan motivasi yang tinggi menghabiskan segera hafalan 30 juzuk Al-Quranul karim dalam dua tahun ini di Maahad Tahfiz Al-Quran Hira' di Jeram.
  • Deena Sofiyya - simanja 8 tahun yang begitu ceria dan menghiburkan, sedang pulun menghafal Surah Al-Balad semenjak Ramadhan yang lalu.
Moga dimakbulkan doa kami berdua saban hari - agar mereka menjadi `qurratu a'yun - penyejuk mata' dan imam bagi mereka yang bertaqwa (lil muttaqin imama)..............Amin

Ummi dan Ayah sentiasa bersyukur ke hadrat Allah yang mengizinkan kami berdua, to be the parents of these beautiful children!! We can never thank You enough, Ya Rabb.......

Ummi & Ayah

Read more...

Nukilan buat anak-anak bergelar pelajar perubatan (dan ibu bapa mereka juga!)

>> Monday, September 20, 2010

Salam Syawal,
Khusus buat:

  • Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)
  • Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas
Sedikit pesanan ini dinukilkan oleh seorang yang pernah menjadi pelajar perubatan ( 1986-1991), sudah bergelar doktor selama lebih 19 tahun, menjadi pakar O&G dan pendidik kepada ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun. Namun belum berpeluang menjadi ibu kepada seorang pelajar perubatan lagi setakat ini.

Anak-anakku,

Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.

Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!

Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.

Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui. Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.

Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.

Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.

Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,

Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.

Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!

InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.

Dr.Har

Read more...

Sekalung Al-Fatihah buat Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Ahmad Sonhadji

>> Sunday, August 29, 2010


Salam

Pada pagi 2 Ramadhan ( 12 Ogos 2010) yang lalu, seorang ulamak tersohor Singapura - Al-Fadhil Ustaz Ahamd Sonhadji Mohamad pulang ke rahmatullah pada usia 88 tahun, berikutan komplikasi radang paru-paru dan kegagalan ginjal.

Dr.Har hanya mengetahuinya awal pagi 19 Ramadhan ini, semasa google data - entah macamana terlihat satu berita yang mengumumkan pemergian ulamak hebat ini.

Sambil menghadiahkan al-Fatihah, fikiran Dr.Har terlayang mengimbau pengalaman peribadi, dua kali menziarahi beliau di rumahnya di Singapura kira-kira sepuluh tahun lalu.

Semasa menjalani fellowship di Antenatal Diagnostic Centre (ADC) di NUH dari Mei - Julai 2000, melalui K.Salbiah, sister yang menyewakan bilik rumahnya pada Dr.Har - berkesempatan pula mengenali K. Suryati, salah seorang dari anak-anak Almarhum. Kebetulan, Dr.Har dibawa menziarahi almarhum di rumahnya, yang dipenuhi buku-buku dan penulisan.

Almarhum terus mengingatkan Dr.Har kepada almarhum ayahanda Hj Siraj yang sudah tiada - mungkin kerana gaya dan keramahan ulamak Jawa yang berasal dari Solo ini - sama seperti kemesraan Almarhum bapak setiap kali bertemu orang yang baru dikenali. Kami asyik berbual mengenai tradisi keilmuan masyarakat Jawa - dengan santri, pesantren, mondok dan pak kiyai. Sempat berbual sedikit mengenai Wali Songo - Sunan Bonang, Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan Demak, Sunan Ampel.

Kali kedua ketika Dr.Har sempat bertandang sekejap ke Singapura, setahun kemudian. Paling terakhir, mungkin tiga tahun lepas, semasa Almarhum bertandang ke KL - arwah berpesan kepada K.Suryati, kalau-kalau boleh bertemu Dr.Har. Namun dek ada komitmen lain, Dr.Har tidak dapat memenuhi hajat almarhum.

Sudah lama benar terputus hubungan dgn K.Suryati dan Almarhum. Pemergiannya terasa benar kehilangan, ternyata Almarhum memang cukup `inspirational'.

Doa Dr.Har : `Moga Allah SWT memberikan kerehatan kepada Almarhum Ustaz Sonhadji yang begitu banyak jasa dan bakti - membumikan Islam di bumi Singapura. Masukkan beliau dalam jannah-Mu ya Allah.........tempat kerehatan yang sebaik-baiknya. Jadikan beliau inspirasi buat hamba menabur budi hingga ke akhir hayat.'

Demi cinta dan kasih sayang Dr.Har pada almarhum, akan Dr.Har usahakan agar bertaut semula ukhuwah dan persahabatan antara Dr.Har dan ahli keluarganya, InsyaAllah.

Moga dikabulkan Allah segala hasrat dan harapan.........Ameen.

Read more...

Doa buat suamiku tercinta, sempena ulangtahun ke-44!

>> Tuesday, August 10, 2010



Salam,
Pada tanggal 10 Ogos 1966 yang lalu, lahir seorang putera sulong di Kg Ketemba, Baling Kedah - membawa cahaya kegembiraan kepada pasangan Ahmad Lebai Dol dan Haspah Awang.
Diberikan nama Zulkifli, sempena nama Nabi - anak itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan harapan, agar satu hari nanti menjadi manusia yang banyak jasanya kepada umat.

Hari ini genap usianya 44 tahun. Dalam tempoh usia sebegitu, insan ini amat banyak jasanya terutama kepada keluarganya. Semenjak bergelar suami pada usia 25 tahun ( mengikut usia Nabi Muhammad SAW berkahwin) dan menjadi bapa pada usaia 27 tahun, insan ini tidak pernah jemu membimbing dan memimpin isteri dan anak-anaknya.

Gaya kepimpinannya penuh bijaksana, seloroh dan tawa mesra menjadi pemikat, ketajaman firasat dan kematangan menjadi perhiasan yang menawan hati siapa sahaja yang mengenalinya. Namun yang paling utama, kejelasan fikrah dan kesungguhannya menyemai benih aqidah, iman dan taqwa menjadi penerang dan suluh jalan yang tidak pernah kunjung padam.

Alhamdulillah, hanya Allah yang layak kami puji lantaran nikmat hidup sekeluarga bernakhodakan insan mulia ini. Di hari ulangtahun ini, isteri dan anak-anakmu menghimpun doa, agar Allah SWT terus membimbing Abang dan memberi kekuatan utk. terus mendidik kami tanpa jemu.

Saban hari, kami menjadi saksi bahawa engkau begitu gigih menurut perintah yang dimaktubkan dalam surat At-Tahrim : Kuu anfusakum wa ahlikum naara! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.............. Ya Allah, persaksikan bahawa insan ini telah sedaya upayanya cuba menjalankan suruhan dan meninggalkan kebencian-Mu setiap masa. Kurniakan untuknya jannah-Mu , Ya Allah!

Abang , we salute you!! May Allah SWT bless you with many more productive years ahead..InsyaAllah.

Har, Syifa', Syamil dan Deena

Read more...

UKM Vice Chancellor Award 2010: DR. FARIN MASRA

>> Friday, August 6, 2010


Salam
Alhamdulillah, Dr. Farin Masra has been selected as one of the recipients of UKM Vice Chancellor Award during this year Convocation. The honour is awarded to excellent graduates who have shown outstanding performance in both academic as well as co-curriculum activities.

SYABAS Farin! You definitely deserve this award, dear!

May Allah SWT continue in providing you strength and perseverence!

Loves,
Dr.Har

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP