>> Friday, November 1, 2013

Jalan Fitrah menuju Kebahagiaan Hakiki

Perkataan bahagia dan kebahagiaan amat sering bermain di bibir manusia. Kebahagiaan menjadi matlamat dan halatuju, motivasi serta alasan untuk hidup sehari lagi. Bahagia sering dikejar dan diburu manusia, seolah-olah ianya sebuah entiti yang punya daya sendiri untuk bergerak menjauh dan pergi. Namun apakah sebenarnya definisi `kebahagiaan’itu? Bagaimanakah gambaran dan deskripsi perasaan tersebut? Siapakah yang dikatakan bahagia? Apakah tanda sebuah kebahagiaan? Bolehkah kebahagiaan itu hilang lenyap, pergi dan datang kembali? Dapatkah kebahagiaan itu dikongsi dan dinikmati bersama dengan orang lain? Bolehkah kebahagiaan seseorang mengakibatkan penderitaan kepada seorang manusia yang lain? Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, sebuah buku yang tebal pun belum tentu mampu menghurai dan memberi jawapan kepada setiap persoalan yang ditanyakan berkenaan `bahagia dan kebahagiaan’ini.

Satu lagi persoalan utama yang mesti dijawab terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjut mengenai `kebahagiaan’boleh diteruskan. Mampukah sebenarnya manusia ini mengecap kebahagiaan? Sekiranya bahagia itu diukur dengan kekayaan material yang bertimbun, pangkat kedudukan yang tinggi melangit, kekuasaan, populariti dan pengaruh yang meluas, mengapa begitu ramai manusia yang sudahpun memiliki semua itu masih terkial-kial mencari lebih banyak kebahagiaan? Mengapa mereka semakin tamak mengejar harta, wang ringgit, kuasa, pangkat dan kedudukan ? Peribahasa Melayu `Diberi betis, mahukan peha’- amat tepat dalam menggambarkan ketamakan dan nafsu serakah manusia yang tidak pernah kenal erti puas ini! Begitulah manusia lumrahnya memburu dan terus mengejar bahagia yang tidak juga kunjung tiba!

Hayatilah mafhum ayat-ayat Al-Quran yang diperturunkan di bawah ini :

`Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.
( Surah Al-Ahzab : ayat 72)

`Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat tidak berterimakasih.
( Surah Ibrahim : ayat 34)

`Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu kembali (pada hari kebangkitan). Sungguh, manusia itu sangat kufur nikmat.’
( Surah Al-Hajj : ayat 66)
`Dan manusia (seringkali) berdoa untuk kejahatan sebagaimana (biasanya) dia berdoa untuk kebaikan.  Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa.’
( Surah Al-Isra’: ayat 11)


Apabila kita menyelusuri gambaran sifat-sifat manusia yang dinyatakan Allah SWT di dalam Al-Quranul karim, kita sudah boleh membuat kesimpulan sendiri mengenai fitrah manusia ini. Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof Dr Hamka, penjelasan mengenai sifat zalim dan bodohnya manusia dalam ayat 72, Surah Al-Ahzab berkaitan dengan amanah Allah SWT – di mana manusia amatlah zalim apabila mensia-siakan amanat Allah SWT dan sangatlah bodoh kerana mereka tidak tahu harga diri dan kemuliaan diangkat menjadi hamba Allah, sehingga ada yang sanggup pula mempersekutukan Allah dengan sembahan yang lain! Dalam tafsiran ayat 34, Surah Ibrahim pula, Prof Dr Hamka menekankan manusia sekali lagi bersifat zalim kerana menganiaya dirinya sendiri dan menunjukkan akhlak yang buruk dengan tidak berterimakasih kepada Allah SWT yang telah mengurniakan begitu banyak nikmat yang tidak mampu dibilang dan dihitung. Dalam konteks yang sama, tafsiran ayat 66, Surah Al-Hajj menjelaskan sifat manusia yang kufur nikmat atau tidak mengendahkan begitu banyak nikmat pemberian Allah menyebabkan kehidupan manusia menjadi sesat dan tidak mempunyai arah tujuan.

Izinkan penulis memperturunkan huraian Tafsir Al-Azhar mengenai sifat manusia yang `tergesa-gesa’ sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ke 11, Surah Al-Hajj :

` Adapun sifat tergesa-gesa ialah mahu terburu-buru, mahu cepat sahaja, Ini adalah sifat asal manusia. Jika ditimpa kejahatan, kesusahan, dia amat gelisah dan tidak dapat mengendalikan diri. Dia mengeluh dan menyumpah, kadangkala kerana merasakan bencana terlalu berat, dia minta mati sahaja. Demikian pula bila dia mendapat kebaikan yang menggembirakan, dia memuji-muji diri mendabik dada. Lupa dia bahawa hidup itu adalah pergantian hujan dan panas, suka dan duka, senang dan susah.’
( Prof Dr Hamka :  Tafsir Al-Azhar)

Seterusnya Allah SWT memperjelaskan lagi sifat dan perangai manusia ini dalam Surah Fussilat, ayat 49 – 51 yang mafhumnya :

`Manusia itu tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilanglah harapannya. (49) Dan jika Kami berikan kepadanya suatu rahmat dari Kami setelah ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata :”Ini adalah hakku, dan aku tidak yakin bahawa hari kiamat itu bakal terjadi. Dan jika aku dikembalikan kepada Tuhanku sekalipun, sesungguhnya aku hanya akan beroleh kebaikan di sisi-Nya.” Maka sungguh, akan Kami beritahukan kepada orang kafir tentang apa yang mereka telah kerjakan dan sungguh akan Kami timpakan kepada mereka azab yang berat.(50) Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka, maka dia banyak berdoa.(51) ’

Nyata sekali sifat manusia yang sememangnya mudah berputus asa dalam kesusahan dan kesukaran namun begitu mudah juga lupa daratan dan tak sedar diuntung apabila dianugerahkan kesejahteraan dan kebaikan. Bukan itu sahaja, manusia ini juga tertipu dengan tanggapan bahawa kebaikan yang sedang dinikmatinya adalah hak mutlaknya yang tidak akan dipertanggungjawabkan Allah ke atasnya serta tidak mengimani bahawa adanya hari pembalasan. Malahan dia juga amat yakin akan beroleh jaminan kebaikan di akhirat nanti. Sungguh manusia ini tidak sedar diri dan sombong bongkak!

Untuk mengecap kebahagiaan yang hakiki, jelas sekali perlunya manusia menguruskan   sifat-sifat negatif  yang telah dihuraikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quranul karim. Hampir mustahil untuk manusia mencapai kebahagiaan yang diidam-idamkan sekiranya semua sifat tersebut tidak disantuni sewajarnya. Selagi mana manusia tidak menemui jalan, wasilah serta formula yang tepat untuk  mengharungi kehidupan di dunia ini, dia tidak akan berpeluang mengecapi kebahagiaan di dunia, apatah lagi di hari akhirat nanti.

Sebenarnya Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap makhluk-Nya telah menggariskan formula utama untuk mengatasi segala kekurangan dan kelemahan manusia. Allah menjanjikan kebahagiaan hakiki dan kejayaan agung ( fauzun adzim) dan nyata ( faudzun mubin) melalui firman-Nya di dalam Al-Quran yang mafhumnya :

`Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamulah yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.’
( Surah Ali Imran:  ayat 139)

`Dan barangsiapa mengerjakan kebajikan sedangkan dia beriman, maka dia tidak khuatir akan perlakuan zalim ( terhadapnya) dan tidak (pula khuatir) akan pengurangan haknya.’
( Surah Taha : ayat 112)

`Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Ingatlah) pada hari (ketika) Allah mengumpulkan kamu pada hari berhimpun, itulah hari pengungkapan kesalalahan-kesalahan. Dan barang siapa beriman kepada Allah dan mengerjakan kebajikan nescaya Allah akan menghapuskan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.’
( Surah At-Taghabun : ayat 8 – 9)

`Maka adapun orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka Tuhan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya( syurga). Demikianlah kemenangan yang nyata.’
( Surah Al – Jatsiyyah : ayat 30)   

Apakah kunci kebahagiaan yang hakiki? Allah SWT telah memberikan jawapan-Nya melalui ayat-ayat Al-Quran yang diperturunkan di atas. Iman adalah asas utama  yang mampu membentuk kehidupan yang bahagia di dunia ini, juga di akhirat. Beriman kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dengan menuruti apa yg diperintah-Nya serta berusaha menjauhi segala yang terlarang adalah formula utama manusia mampu mewujudkan rasa bahagia, aman sentosa di dalam dirinya sendiri. Tidak perlu lagi mengejar, memburu dan menunggu kehadiran `bahagia’ yang sebenarnya boleh dijana dari dalam diri kita sendiri. Syarat utama, membuat pilihan secara sedar untuk beriman kepada Allah SWT tanpa ragu-ragu dan syak wasangka. Sebaliknya, jika seseorang memilih untuk tidak beriman, mengingkari Allah dalam keadaan sesat, bersedialah dia untuk mengharungi kehidupan yang derita, sempit dan sukar di dunia dan akhirat. Mafhum firman Allah SWT :

`Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.’
(Surah Taha : ayat 124)

`…Dan barangsiapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seolah-olah  dia (sedang)  mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang yang tidak beriman.’
( Surah Al-AnĂ¡m : ayat 125)

Sesungguhnya, Allah SWT telah menyediakan lorong khas yang mampu digunakan oleh semua manusia tanpa mengira pangkat, keturunan, etnik dan usia bagi mengecapi kebahagiaan yang hakiki. Manusia hanya perlu memilih iman dan kebenaran untuk menempa kehidupan yang benar-benar bahagia, sekalipun dia mungkin punya harta yang sedikit dan tinggal di pondok usang. Dengan iman, dia mampu membuat pilihan untuk terus menerus bahagia, sama ada semasa kesenangan meliputi dirinya ataupun tatkala ujian Allah datang melanda. Amat benarlah hadith sahih Rasulullah SAW yang mafhumnya :

` Ajaib dan menakjubkan urusan hidup orang yang beriman! Tiap perkara yang berlaku semuanya baik belaka. Dan tidaklah ianya begitu melainkan kerana dia beriman. Apabila dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik buatnya. Dan bila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itupun jua baik buatnya.’

Kehadiran iman di hati adalah jaminan seseorang meraih kebahagiaan yang hakiki. Tanpa nur iman, perjalanan hidup manusia menjadi derita, meraba-raba dalam gelap gelita tanpa obor yang menerangi. Beriman dan mengakui bahawa diri ini sebenarnya milik Allah SWT adalah langkah pertama menuju bahagia yang hakiki di dunia dan akhirat. Semoga kita semua merasai perasaan bahagia yang diperkatakan dalam lirik korus lagu terbaru Maher Zain, Ku Milik-Mu :

`Kini kutahu rasanya, Hidup dalam cahaya kasih-Mu,
Kini kutahu rasanya, Menemukan damai di jiwa,
Seandainya semua tahu, Indahnya mengabdi pada-Mu,
Seandainya semua tahu, Kasih-Mu lepaskan belenggu,
Bebaskanku, kuatkanku…’ 

Loves,
Dr. Har

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP