KENYATAAN MEDIA JIM: TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

>> Wednesday, February 24, 2010

Kenyataan Media Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
22 Februari 2010

TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi. Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk ` Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas. Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan.

JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya. Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain.

Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar :

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkahlaku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.

Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis.

JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

Kenyataan Media JIM mengenai pembuangan bayi

>> Thursday, February 18, 2010



Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
12 Februari 2010

ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!

JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).

Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
Tahun2006200720082009 (sehingga Mei)
Jumlah Kes537610233


Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.

Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?

JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.

JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua - dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.

JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.

Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni dalam komuniti. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .

JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas : Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam).

Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.

Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.

Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja! Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.

JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!


Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

Melonjak aktivisme di tahun 2010

>> Saturday, January 2, 2010


Salam

Tahun 2009 telah selamat melabuhkan tirai, kita diizinkan Allah menjejak kaki ke tahun yang baru 2010. Sebenarnya kita melangkah setapak lagi menghampiri kematian. Itu jangan sekali kita lupa.

Anak-anak dah mula nak sekolah, Syifa' akan masuk Form 5, SPM hujung tahun ni, InsyaAllah. Syamil nak mula masuk Maktab Tahfiz Hira' Jeram - semoga akan muncul seorang hafiz yang aka menyumbang baktinya kepada ummah - kalau boleh sampai jadi `Allamah Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi! Deena Soffiyya akan masuk Tahun 2 di SRI Al-Amin KL.

Didoakan semua anak-anak menjejak kaki ke sekolah dengan niat yang sama : Mencari keredhaan Allah SWT!

Teringin nak share satu gambar yang `cukup indah' - Gambar Syifa' dengan ayahnya Ustz Zul. Terdetik di hati Dr.Har, sememangnya amat penting seorang bapa mengasihi anak perempuannya, ibarat Rasulullah SAW dgn puteri baginda Fatimah Az-Zahra'. Pasti terjamin masa depan dan keselamatan jiwa nurani si anak gadis dari bahaya gejala sosial yang sedang bergelora hari ini.

Ayoh, apa tunggu lagi, jom santuni anak-anak kita!


Dr.Har

Read more...

Pembentangan di Muzakarah JK Fatwa Kebangsaan ke-89

>> Wednesday, December 23, 2009

Salam

Nak share azam Maal Hijrah 1431H - Dr.Har nak update blog at least once a week. So here goes.

Selasa lepas , 15/12/09 Dr.Har diminta membentangkan taklimat mengenai Cabaran dan Dilemma dalam penjagaan Kesihatan reproduksi dan seksual remaja di Malaysia di hadapan Sahibus Samahah dan Sahibul Fadhillah. Tujuan pembentangan adalah untuk menjelaskan mengapa Kem. Kesihatan Malaysia (KKM) perlukan satu garispanduan yang jelas bagi pengamal perubatan mengendalikan kes-kes berkaitan reproduksi dan seksual remaja terutamanya remaja Muslim.

Untuk permulaan, dikongsikan di sini petikan akhbar yang menggemparkan kita! Apa yang Dr.Har bentangkan dalam Muzakarah tu, nanti update lagi, InsyaAllah.

Dr.Har

Read more...

Majlis Ilmu Perdana - `Allamah Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawi 191209

>> Monday, December 21, 2009



Salam

Alhamdulillah, Dr. Har berpeluang mengikuti syarahan Maal Hijrah yang disampaikan oleh Prof Dr. Yusuf Al Qaradhawi (YAQ), tokoh Maal Hijrah 1431H di Masjid Negeri Shah Alam pada 19 Dis 2009, selepas Maghrib.

Dr.Har sempat sampai tepat jam 8.00 malam bersama Ustaz Zul dan Syamil, sejurus selepas menjalankan tgjwb kekeluargaan pulang ke Bagan Datoh menghadiri walimatul urus dua orang beradik sepupu bonda ana ( dua anak terakhir datuk saudara Dr. Har, Mbah Mustakim di Selekoh).

Ini apa yang sempat Dr. Har catatkan dalam buku nota, untuk perkongsian sesiapa yang tidak berpeluang hadir di majlis amat bersejarah kelmarin :

1. Muqaddimah - A'llamah Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (YAQ) memilih tajuk hijrah untuk dikupas memandangkan suasana sambutan awal hijrah 1431H masih hangat diperkatakan, namun beliau tidak mahu menghurai dari aspek penceritaan semata-mata seperti contohnya pengkisahan adanya dua ekor merpati yang membuat sarang di muka pintu gua Thur, yang menurut Prof YAQ, masih belum ditemuinya nas berkaitan yang kukuh di dalam rujukan yang sohih! ( Komen Dr.Har : beware of pengkisahan mengenai Hijrah Rasul SAW yang ditokok tambah dgn kisah dongeng Israilliyat!)

2. Prof Dr. YAQ menekankan khusus mengenai keperluan membina kekuatan berjamaah (teamwork) - melalui ibrah dan iktibar yang boleh diambil dari gerakerja Rasulullah SAW semasa sampai ke Madinah - di mana Ar Rasul SAW terus mencari `pasukan' beliau kerana amat arif akan kekurangan serta kelemahan bekerja sendirian atau bergerak secara individu. Rasulullah SAW melihat potensi tersebut dalam kelompok Aus dan Khazraj yang menduduki Madinah. Lantas Rasulullah mengasaskan sebuah komuniti ulung umat Islam yang tersusundan berteraskan iman serta aqidah yang sohih.

3. Prof. Dr YAQ mengingatkan, jika diamati dalam Al-Quran, perbezaan jelas antara ayat-ayat yang diturunkan di Makkah dan Madinah, antara lain adalah ayat-ayat Madinah banyak menjurus kepada peraturan dan dasar-dasar sosial. Banyak ayat Madaniyah yang dimulakan dengan seruan ` Ya aiiyuhal ladzi na aamanu...', wahai orang-orang yang beriman - kerana ketika di Madinah sudah ada kelompok orang beriman untuk diseru sebegitu, tidak seperti semasa di Makkah, di mana Ar Rasul SAW belum dapat menyeru dngn seruan sebegitu rupa. Oleh itu, Prof YAQ mengatakan, menurut banyak pendapat para sahabah, jika kita membaca ayat yang dimulakan dgn seruan `wahai orang beriman', segeralah perhalusi saranan dan seruan tersebut untuk diambil pengajaran yang penting yang terkandung di dalamnya, ataupun segera menjauhi larangan yang dinyatakan sekiranya dlm ayat tersebut dijelaskan batas dan sekatan tertentu.

Moga dapat dimanfaatkan bersama - mutiara yang dikeluarkan oleh Prof. Dr YAQ dalam nada suara yang begitu mantap dan bertenaga, membangkitkan semangat dan mengisi kehausan kepada ilmu yang begitu bijaksana. Terasa sungguh suasana indah majlis ilmu atau mega daurah tersebut.

Disertakan gambar Prof. Dr. YAQ yang sempat dirakamkan oleh anakanda Anas Bat Latif ( courtesy blogspot Ummu Asiah) semasa sesi ceramah dan doa di akhir sesi tersebut.

Dr.Har

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP