Bapak Penyuluh Hidupku

>> Sunday, June 19, 2011

Sempena Hari Bapa 2011, Dr Har mengucapkan sepenuh penghargaan atas segala susah payah, penat lelah, pengorbanan dan kesungguhan para bapa yang soleh lagi musleh. Dikongsikan di sini sedikit catatan mengenai Almarhum Ayahanda Hj Siraj @ Hj Ramli bin Hj Abd Rahman, Bapak Dr Har yang dimuatkan dalam buku kecil Trilogi `Lelaki Pelindung Wanita.'

Tanggal 22 September 1987 tidak akan aku lupakan sepanjang hayatku. Itulah tarikh pemergian Almarhum Bapak Kiyai Hj Siraj @ Hj Ramli bin Hj Abdul Rahman meninggalkan alam fana’ ini untuk kembali ke alam barzakh. Bermula saat itu, aku terpaksa menerima hakikat bahawa aku sudah kehilangan belaian seorang lelaki yang paling besar pengaruh dan kasihnya terhadapku. Dalam usia semuda 21 tahun dan masih berada di tahun ketiga pengajian perubatan, kehilangan ayahanda sememangnya meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Masakan tidak. Inilah lelaki pertama yang hadir dalam hidupku. Kasih sayangnya begitu jelas diterjemahkan sepanjang tempoh kehidupannya membesarkan lapan orang cahayamata. Yang paling istimewa, layanannya terhadap lima orang puterinya, di samping tiga lagi putera. Kekandaku yang kedua, Siti Fatimah, adalah antara lima pelajar perempuan pertama dari Sekolah Menengah Perempuan Jalan Kolam Ayer (sekarang Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya) yang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 1974. Apabila ditanya rakan-rakannya, mengapa dia sanggup membiarkan anak gadisnya pergi sejauh itu menuntut ilmu, jawapannya jelas menggambarkan kewibawaannya selaku seorang bapa. `Anak saya itu telah terdidik dan terasuh dengan segala bekalan yang perlu untuk dia meneruskan kehidupannya. Saya yakin sekalipun dia perempuan, dia akan tetap ingat bahawa Allah yang melihatnya di sini, Allah itu jugalah yang akan memerhatikannya di sana nanti.’

Ayahandaku memang seorang yang amat istimewa. Kasih cintanya pada ilmu, mendorongnya menghabiskan sepenuh zaman mudanya menuntut dan belajar dari ramai ulamak dan tuan guru di serata tempat – termasuk di Masjidin Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah, di pesantren Darul U’lum, Tebu Ireng, Jawa Timur dan di pondok pengajian di Temoh, Perak antara tempat pengajiannya. Dek kerana sibuk memburu ilmu, ayahanda `lupa’ memikirkan tentang jodoh. Dengan izin Allah, pada usia 32 tahun, barulah hati ayahanda terbuka untuk melangkah masuk ke gerbang alam perkahwinan apabila nendaku bertegas mahu mengahwinkannya dengan gadis sunti berusia 13 tahun, anak seorang kiyai di Bagan Datoh Perak. Bermulalah kehidupannya menjadi nakhoda rumahtangga sebagai seorang suami dan bapa.

Semasa baru mendirikan rumahtangga, ayahanda menetap di Sungai Ayer Tawar bersama bonda, mengasaskan sebuah pondok pengajian Islam atau pesantren kecil dengan beberapa orang santri (pelajar). Pada tahun 1961, ayahanda menjawat jawatan sebagai seorang kadhi di Jabatan Agama Islam Selangor di Kelang, sebelum berpindah ke Sungai Besar pada tahun 1963, tiga tahun sebelum kelahiranku.

Aku amat rapat dengan ayahanda, yang kupanggil Bapak. Semenjak kecil, akulah yang paling kerap mengekorinya ke mana jua dia pergi dengan motorsikalnya. Ayahanda sengaja menekan-nekan minyak motorsikalnya bila menghidupkan engin, memberi aku peluang untuk berlari dari mana jua tempat aku bermain, pergi mendapatkannya sambil merayu-rayu dengan bahasa Jawa pelatku: `Han tutu ayep’ (Terjemahan : Han – gantinama yang aku guna untuk membahasakan diriku : Har ; tutu – motorsikal ; ayep = arep atau hendak dalam bahasa Jawa – Terjemahan penuh : Har nak naik motorsikal) . Masih segar di ingatan, betapa bahagianya aku menaiki motorsikal itu bersama ayah, berada di depan dengan kedua kakiku dalam bakul dan tanganku memegang handel motorsikal tersebut. Ada masanya ayahandaku memberi izin aku menghidupkan `signal’ motorsikal apabila mahu membelok ke kanan dan ke kiri. Kami berdua menjejaki banyak pengalaman bersama. Ayahandaku seorang yang suka adventure dan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Kami sering menyelusuri jalan dan lorong kecil semata-mata mahu tahu ke mana jalan itu berakhir. Pendedahan semasa kecil itu terbawa-bawa hingga ke hari ini, di mana aku sentiasa teruja untuk mengembara dan membuat eksplorasi, menemukan sesuatu yang baru (discovery) terutamanya bila aku berpeluang ke tempat yang baru, di dalam mahupun di luar negeri.

Aku masih ingat betapa ayahandaku berseloroh mahu `menebang’ rambutku yang diikat seperti pokok kelapa oleh bonda. Manakan tidak, rambutku itu sering ditiup angin dan mengganggu muka ayahanda setiap kali aku menunggang motorsikal bersamanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata ayahandaku : ` Ngengko bapak tegor pokok kelopo neng nduwur sirah Han ki (terjemahan : nanti Bapak tebang pokok kelapa atas kepala Har ni!). Aku dikatakan mempunyai perwatakan dan bentuk badan serupa seperti Bapak. Mak cik dan Pak cik, adik-adik almarhum Bapak sering mengingatkan aku mengenai perkara itu.

Semasa aku berusia lima tahun, Bapak bertanya mengenai cita-citaku bila aku besar kelak. Aku menjawab : `Nak jadi doktor!’ Bapak mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju. Esoknya, Bapak menghadiahkan satu set permainan peralatan perubatan yang dibuat dari plastik. Aku rasa begitu disokong dan direstui. Namun Bapak bertanya selepas itu, `Kalau tak dapat nak jadi doktor, macamana?’ Tanpa berfikir panjang, aku menjawab, `Har nak jadi cikgu kalau tak boleh jadi doktor’. Almarhum Bapak sebenarnya memberikan pengajaran hidup yang amat berharga, sentiasa bersedia dengan Pelan B atau strategi kedua, mana tahu kalau-kalau Pelan A ( strategi pertama) tidak menjadi! Setelah 40 tahun berlalu, aku kini menjadi seorang pendidik kepada ratusan bakal-bakal doktor di salah sebuah fakulit perubatan yang unggul di Malaysia, Alhamdulillah !

Almarhum Bapak seorang yang gigih beribadah dan begitu bersungguh menghidupkan sunnah. Seingatanku, Bapak sentiasa berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Setiap malam, sekiranya aku terjaga dari tidur, akan kedengaran sayup-sayup suara Almarhum Bapak membaca Al-Fatihah dan surah-surah Al-Quran dalam qiyamulail dan tahajudnya. Aku sudah terbiasa melihat Almarhum Bapak solat sunat dhuha di waktu pagi selepas bersarapan. Almarhum Bapak sering diziarahi rakan taulan serta anak-anak murid yang datang bertanyakan kemusykilan agama. Kadangkala, rehat Almarhum Bapak terganggu oleh kedatangan tetamu, namun beliau terus mesra melayan mereka dengan penuh hormat. Teringat aku di suatu petang Ahad sekitar jam 2 -3 petang, semasa Almarhum Bapak sedang tidur berehat, datang dua orang tetamu dari jauh. Aku bergegas mengejutkan ayah sampai berkata, `Bapak, ada orang datang!’. Bapak segera memperbetulkan aku, `Bukan orang Har, tapi tetamu. Lain kali cakap : ada tetamu datang, bukan orang!’

Hari ini, kerjaya dan pembabitanku dalam NGO dakwah banyak mendedahkan aku kepada gejala sosial dan seksual yang semakin parah dalam masyarakat Melayu Islam. Anak gadis dan wanita Muslim hari ini menjadi mangsa mudah kepada begitu ramai pemangsa yang sentiasa menanti peluang merosak, memusnah dan memperdaya mereka. Persoalannya, di mana hilangnya kekuatan dalaman yang mampu menjadi benteng penghalang dan perisai diri? Antara faktor utama, ketandusan bimbingan dan didikan ketua keluarga, para bapa yang diberikan amanah `qawama’ ( rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa’ ayat 34). Almarhum Bapak telah membuktikan kegigihannya memikul amanah tersebut. Kasih sayang yang dizahirkan terutamanya semasa aku mencecah usia baligh menjadi dinding kukuh yang melindungi aku dari terperangkap dalam tipu daya syaitan dan nafsu. Jawapan Bapak semasa aku yang terketar-ketar ketakutan meminta pandangannya mengenai surat seorang teman lelaki sekelas darjah enam, yang mahukan aku menjadi teman istimewanya ( surat tersebut siap bertulis, Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas!), menjadi penyuluh hidupku selama ini. Aku masih teringat bagaimana lembut suara Bapak, dengan senyuman terukir mengatakan : ` Memanglah anak Bapak dah besar, pandai, cantik, ayu, peramah dan ada ramai kawan. Patutlah ada yang berkenan.’ Bila kutanya, apa yang harus kulakukan, dengan surat itu, Bapak mencadangkan agar aku membiarkan sahaja dan tidak melayan cinta monyet yang penuh angan-angan kosong. Masih jelas dalam ingatan apa tindakanku selepas itu. Aku terus menuju bakul sampah dan membuang surat tersebut. Betapa hatiku berbunga, ` Siapa yang perlukan seorang teman lelaki istimewa bila dia sudah dicintai dan dihargai oleh seorang lelaki hebat seperti Bapak !’

Bapak, semoga Allah SWT menganugerahkan Jannah buatmu, mengganjarkan keredhaan-Nya lantaran kesungguhanmu menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan Allah buatmu.

Sekalung Al-Fatihah buat Bapak, penyuluh hidupku sepanjang masa.

Loves,
Dr. Har

6 responses:

NURQASEHAIRA June 20, 2011 at 9:34 AM  

Al-fatihah buat semua arwah ayah yang telah pergi menghadap ilahi..

Unknown June 21, 2011 at 8:50 PM  

wow..ur mom got married when she was 13 doc? hehe

rasa sayu dan gembira pun ada bila baca this entry of yours regarding your dad..

alhamdulillah, i'm blessed with a wonderful, understanding and loving abah too..

alhamdulillah :)

umi nuha June 22, 2011 at 1:35 PM  

kak har..you're so lucky while i'm struggling for a love from my father

izatul hafinaz June 23, 2011 at 9:40 AM  

` Siapa yang perlukan seorang teman lelaki istimewa bila dia sudah dicintai dan dihargai oleh seorang lelaki hebat seperti Bapak !’ = that its so sweet and yet very meaningful.Alfatihah to ur father.

Focus Brain June 29, 2011 at 4:13 PM  

Salam,

Satu perkongsiaan yg amat baik bg saya yg masih bertatih utk menjadi bapa kepada tiga orang puteri.

Mungkin dpt dikongsikan lagi apa yg diharapkan oleh seorang anak perempuan pada ayahnya.

Unknown March 16, 2014 at 2:18 AM  

Al fatihah. Dalam persekitaran saya sejak kecil, saya kadang2 rasa sedih kerana beranggapan tidak bernasib baik dengan family yg problematic, tetapi hidayah yg Allah berikan pada saya sentiasa saya rasakan bahawa sayalah org yg paling bertuah. Now, saya cuba utk belajar dari org2 yang hebat seperti Dr Har. Saya tidak tahu jika saya akan berumahtangga, tp saya sedang mengumpul ilmu rumahtangga, parenting so that I can be a gud wife, and gud mother (previously saya ade niat utk tidak berkahwin sbb wat I see in my family, but now saya teringin nak membesarkan a small person that can call me mother, even she/he is my anak angkat.) Saya sentiasa rindukan seorang "bapak" utk saya, to be my "hero".

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP