Hadiah Hari Ibu buat Bonda Hjh Siti Ramlah

>> Thursday, May 7, 2009

Salam

Alhamdulillah, another day dawning - Allah has given me a new day to work on, another step closer to Him, InsyaAllah.

Memandangkan hari Ahad ni, Hari Ibu - Dr. Har perturunkan di sini sebahagian dari coretan Dr.Har mengenai bonda tercinta, Hjh Siti Ramlah Hj Anuar. Bingkisan ini adalah sebahagian dari buku Ibu Madrasah Pertamaku, yang baru sahaja diterbitkan semasa IBF 2009 di PWTC baru-baru ni. Buku terbitan Tinta Ori ni disunting oleh Roha Hassan, dan dimuatkan kompilasi 23 kisah anak-anak mengenai bonda mereka. Artikel Dr. Har merupakan artikel ke10, dari ms 119 - 130 bertajuk : Apa yang Aku Pelajari dari Madrasah Hajah Siti Ramlah Anuar ini ditulis dalam tempoh hampir tiga minggu, walhal selalunya Dr.Har boleh mengarang artikel pendek seperti itu dalam dua tiga hari sahaja. Mana tidaknya, setiap perenggan, mesti kena berhenti sebab air mata melimpah ruah membasahi pipi.

Berikut adalah sebahagian artikel tersebut. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah dapatkan buku IMPK ni dari pejabat Wanita JIM atau hubungi Nazirah di no. 0341089669.


Apa Yang Aku Pelajari Dari Madrasah Hajah Siti Ramlah Anuar

`Jika seorang wanita menghormati ibu mertuanya dengan baik, Insya-Allah, dia sendiri akan dihormati oleh menantu-menantunya satu hari nanti.’

Siapakah Hajah Siti Ramlah Haji Anuar ?

Wajah lembutnya adalah yang pertama aku tatapi sebaik lahir di dunia ini. Hampir pasti, wajah nya lah jua yang paling awal terpahat dalam ingatan pertama ku sekitar usia tiga ke empat tahun dahulu. Bukan hanya wajahnya, malahan lunak suaranya, kehangatan pelukannya serta wangi bau tubuhnya akan menjadi khazanah pusaka paling berharga bagi diriku.Dilahirkan pada bulan Oktober 1938, Bonda Hajah Siti Ramlah Anuar merupakan puteri kedua kepada Kiyai Hj Anuar bin Hj Ramli, seorang guru pondok pesantren di Sungai Tiang Darat, Selekoh, Bagan Datoh, Perak. Bonda dibesarkan di tengah-tengah suasana tradisi keilmuan yang segar bugar dengan aktiviti pengajian puluhan para santri atau pelajar yang datang menuntut ilmu Islam dari bapanya. Bonda seorang pelajar cerdik yang disayangi dan menjadi harapan gurunya ketika bersekolah rendah.Namun, sebagaimana anak-anak perempuan di zaman itu, persekolahan bonda terhenti setakat darjah empat apabila perancangan pernikahannya mula diatur. Gurunya datang bertemu Kiyai Hj Anuar, cuba-cuba memujuk kalau bonda ku boleh diizinkan terus belajar. Namun Almarhum nenda ku tetap dengan keputusannya, dan sebagai seorang anak yang patuh, bonda ku menurut sahaja.

Dalam usia muda tiga belas tahun, bonda berkahwin dengan Almarhum ayahanda, Haji Siraj @ Hj Ramli bin Abd. Rahman, anak seorang Pak Lurah ( ketua kampung) dari Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam. Dengan perkahwinan itu, tercapailah hajat Pak Lurah Sidang Haji Abd. Rahman untuk berbesan dengan Tuan Guru, Pak Kiyai Haji Anuar.Mulai saat itu, al marhum ayahanda lah yang bertanggungjawab sepenuhnya mendidik isterinya yang masih mentah dan muda belia, menyelusur kehidupan berkeluarga selama 36 tahun bersama hingga dikurniakan Allah lapan orang cahaya mata. Almarhum ayahanda yang ketika itu berusia sekitar 32 tahun, hampir 19 tahun lebih tua dari bonda ku, merupakan seorang pemuda pintar yang begitu berminat dan asyik menuntut ilmu agama.Selepas belajar bertahun-tahun di Mekah, Almarhum pergi pula meneruskan pengajiannya ke Tanah Jawa. Bergegas pulang dari Pesantren Darul Ulum, di Jombang, Jawa Tengah selepas menerima satu telegram yang mengatakan bonda nya sakit, rupa-rupanya Almarhum ayahanda mendapati ada perancangan besar untuk menikahkannya dengan bonda ku.

Di awal kehidupan rumahtangga mereka, Almarhum ayahanda pernah menjadi Pak Kiyai pesantren, mengajar ilmu agama kepada para santri. Almarhum kemudiannya dipelawa oleh kerajaan negeri Selangor di awal tahun 1960an untuk menjadi seorang kadi sehingga bersara sebagai Kadi mukim Sungai Besar pada tahun 1976. Sebagai isteri kepada Pak Kiyai yang juga menjadi kadi ketika itu, bonda diberi penghormatan gelaran Mbok Nyai oleh masyarakat Jawa di sekitar Sabak Bernam.Semasa Almarhum ayahanda mengidap kegagalan ginjal (end stage renal disease) akibat diabetes mellitus hingga membawa kepada ajalnya pada 22 September 1987, aku dapat menyaksikan betapa dalamnya cinta, kasih sayang dan penghormatan seorang isteri terhadap suaminya sebagaimana yang ditunjukkan oleh bonda ku.Bagi bonda, Almarhum ayahanda bukan hanya seorang teman hidup yang berkongsi suka duka mengharungi hidup berkeluarga membesarkan lapan orang cahaya mata. Almarhum ayahanda adalah merupakan guru, pendidik, mentor dan murabbi yang membimbing bonda menjadi insan solehah wa muslehah, meneruskan tarbiah dari madrasah Almarhum nenda ku Kiyai Haji Anuar yang hanya sempat dilaluinya selama 13 tahun.

Bonda ku membesar dalam madrasah Almarhum ayahanda ku, melihat contoh teladan yang ditunjukkan oleh suaminya, memikul tanggungjawab besar, menjadi teman hidup dan pendidik awal anak-anak yang menjadi harapan mereka berdua. Kecerdasan, kepintaran, kegigihan dan ketabahan bonda ternyata menambat hati Almarhum ayahanda ku.Di akhir hayatnya, aku melihat begitu banyak contoh yang membuktikan betapa tingginya rasa hormat, kasih sayang dan penghargaan Almarhum ayahanda kepada bonda ku. Aku tidak akan pernah lupa kata-kata Almarhum ayahanda yang diiringi titisan air matanya semasa di katil wad Perubatan di Hospital Universiti (PPUM sekarang ini) ketika aku menjaganya, menggantikan sebentar bonda yang pergi solat Asar ketika itu.Almarhum ayahanda berkata: `Bapak kasihan tengok Mbok penat menjaga dan menunggu Bapak kat hospital ni. Mbok memang isteri solehah, syurga Allah tempat ganjarannya.’ ................


SELAMAT HARI IBU.................



Dr.Har

8 responses:

Mujahidah Fie Sabilillah May 14, 2009 at 1:25 PM  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kagum membaca kisah-kisah dalam buku Ibu Madrasah Pertamaku..

Seperti kisah yang lain-lain, ana kagumi juga kisah Dr Har ini.

Banyak pengajaran buat pembaca yang menghayati dan mengambil pelajaran darinya.

Teruskan perjuangan Dr yang ana kagumi, insya`allah...

Barakillah.

HambaAllah Yang Memakmurkan May 15, 2009 at 11:11 AM  

haih...kecewa slot Dr Har ttg ibu kat IKIM tak habis..

Dr. Har May 15, 2009 at 1:48 PM  

Salam

Oh yer ker? Saya tak sempat dengar sebab tengah ada klinik di PPUKM. Tak per, InsyaAllah, boleh baca dalam buku IMPK! Dah order ker?

Loves : Dr.Har

Unknown September 15, 2009 at 1:00 AM  

Salam.

MasyaAllah..
Kisah yang hebat.

Nak nangis baca words almarhum ayah prof untuk mbok.

Subhanallah.

syukruzlan April 18, 2010 at 1:38 AM  

salam alaik,
semalaman saya meng'khatam' blog Prof
akhirnye saya tertarik untuk singgah lebih lama di sini.

terima kasih
prof..
ianya sgt memberi makna~

Has November 20, 2010 at 11:09 AM  

Salam Dr Har, Tersentuh hati membaca nukilan Dr Har, banyak kisah yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran disebaliknya. Ingin rasanya nak mendapatkan naskah Madrasah Pertamaku ini sekiranya masih ada.

Terima kasih Prof

Dr. Har November 22, 2010 at 12:29 AM  

Has,
Salam
Sila hubungi pejabat JIM untuk dapatkan naskah IMPK di talian yang dinyatakan dalam artikel ini.
Dr.Har

Has November 22, 2010 at 12:03 PM  

Salam Dr Har, InsyaAllah. JZZK Dr Har..

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP