Bayi Dibuang Demi Maruah & Kehormatan?

>> Monday, September 24, 2012





(Artikel ini diterbitkan dalam Majalah SOLUSI tahun lepas) 

Dalam kolum yang memberi fokus kepada isu menyantuni fitrah manusia, penulis merasakan amat perlu disentuh fenomena pembuangan bayi yang kerap dilaporkan di dada akhbar sejak kebelakangan ini. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM, sebanyak 79 kes pembuangan janin dan bayi dicatatkan sepanjang tahun 2009 sementara 45 kes lagi dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2010. Dari bilangan tersebut, hanya 11 kes ( 14% ; 2009) dan 10 kes ( 22%; Jan – Jun 2010) yang dianggap selesai oleh PDRM dengan berlakunya penangkapan suspek yang didakwa membuang janin dan bayi tersebut, sementara majoriti kes masih dalam siasatan. Kes pembuangan bayi juga telah menular ke seluruh pelusuk tanahair, bukan hanya di bandar-bandar besar yang sering dikaitkan dengan kadar gejala sosial yang tinggi. Gambar-gambar bayi yang ditemui mati, reput dan terdampar meruntun dan menyayatkan hati, menyebakkan dada dan menimbulkan kegelisahan serta kegusaran. Di manakah hilangnya naluri kemanusiaan, fitrah suci naluri keibuan  dan kebijaksanaan akal yang dibekalkan Tuhan?   

Apalah agaknya faktor paling utama yang mampu mendorong seorang ibu hingga tergamak mengabai, membiar sedemikian rupa dan akhirnya menyebabkan kematian bayi kecil yang baru dilahirkannya sendiri, tanpa berpeluang menikmati kehidupan dan masa depan yang gemilang? Tidak mungkin boleh diterima oleh akal yang waras, betapa seorang ibu tegar melakukan semua itu. Lupakah siibu kepada Tuhan yang sedang memerhatikan? Tidakkah dia meyakini akan perhitungan di Mahsyar kelak, yang mana dia akan berdiri bersendirian di hadapan Allah Rabbul Jalil, apabila didakwa memperlakukan bayi kecil tanpa dosa itu sedemikian kejam.  

Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses singkat dan sekelip mata. Kehamilan mengambil masa berbulan-bulan. Seawal dua bulan kehamilan, siibu akan dapat mengesan kelainan pada dirinya, loya tekak dan keletihan yang luar biasa. Bila kandungan mencecah usia 20 minggu – gerak janin mula dirasai ibu, melambangkan kehadiran seorang manusia kecil yang tidak boleh dinafikan lagi. Sekalipun manusia lain di sekeliling mungkin tidak mengetahui, wanita yang hamil itu pastinya tahu keadaan dirinya yang sebenar. Mustahil sekiranya tidak muncul rasa ingin tahu di hati sibakal ibu, bagaimana agaknya keadaan bayi dalam kandungannya. Biar apapun keadaan dan situasi yang menjadi sebab musabab kehamilan itu, naluri keibuan pastinya mendorong rasa sayang dan ikatan kasih yang sukar digambarkan. Sekiranya kehamilan tersebut berlaku di luar nikah yang sah, dillema mula melanda wanita yang hamil itu. Persoalan demi persoalan bertubi-tubi menghantui minda - apa yang harus dilakukannya, siapa yang harus diberitahu, bagaimanakah penerimaan dan reaksi orang ramai apabila kehamilan tersebut tidak lagi mampu dilindungi, di mana hendak melahirkan bayi tidak sah taraf ini, siapa yang sudi memelihara dan menjaga bayi yang tidak dialu-alukan kehadirannya? Betapa berat tanggungan fizikal, emosi dan spiritual yang dipikul oleh wanita ini.

Di dalam Al-Quranul karim, Allah SWT merakamkan kebimbangan dan kegusaran Maryam, seorang gadis suci, apabila dipilih Allah SWT menjadi ibu kepada Nabi Isa AS, tanpa kehadiran seorang bapa sebagai tanda kebesaran-Nya dalam surah Maryam ayat 19 – 23 yang mafhumnya :

19) `Dia (Jibril) berkata, Sesungguhnya aku adalah utusan Tuhanmu, untuk menyampaikan anugerah kepadamu seorang anak lelaki yang suci.’

20) Dia (Maryam) berkata, `Bagaimana mungkin aku mempunyai anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan seorang penzina.’

21) Dia (Jibril) berkata , `Demikianlah.’ Tuhanmu berfirman, `Hal itu mudah bagi-Ku, dan agar Kami menjadikannya suatu tanda (kebesaran Allah) bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah suatu urusan yang (sudah) diputuskan.

22)Maka dia (Maryam) mengandung, lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.

23) Kemudian rasa sakit hendak bersalin memaksanya (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia (Maryam) berkata,`Wahai, betapa (baiknya) aku mati sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.’

Tentu sekali tidak tepat untuk membandingkan peristiwa kehamilan Maryam dengan insiden kehamilan luar nikah yang menimpa ramai gadis belia Muslim hari ini. Namun, apa yang boleh dijadikan iktibar di sini, sekalipun peristiwa kehamilan Maryam adalah sebahagian petanda kekuasaan dan keagungan Allah, namun sebagai seorang wanita biasa, Maryam tetap mengalami tekanan emosi yang hebat bila tiba saat melahirkan Nabi Isa AS. Bolehlah dibayangkan betapa berkecamuknya perasaan dan ketakutan yang dirasai oleh wanita yang hamil di luar pernikahan yang sah.

Dalam masyarakat yang masih menjunjung tinggi nilai budaya Timur, maruah dan kehormatan diri individu dan keluarga menjadi satu perkara pokok  yang mesti dipertahankan. Peribahasa Melayu banyak menyentuh aspek menjaga harga diri, maruah, kehormatan, kerahsiaan dan hal-ehwal menjaga air muka, antaranya ` Membuka pekung di dada atau mencoreng arang di muka’. Mungkinkah sikap ini yang menyebabkan remaja belia yang hamil, merasa amat sukar untuk memberitahu dan berterus terang dengan ibu bapa dan keluarga? Akibatnya, remaja tersebut bertindak menyembunyikan kehamilannya, melahirkan secara senyap-senyap keseorangan dan nekad membuang bayi yang dianggap bahan bukti kepada perlakuan maksiat di luar batas peraturan agama. Ini mungkin satu penterjemahan paling hampir kepada peribahasa : ` Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut!’

Dalam kemelut mencari penyelesaian masalah pembuangan bayi, terdapat pandangan (khususnya dari kelompok liberal sekular) yang menyelar sikap konservatif dan tradisionalis masyarakat Melayu Islam yang dianggap kolot dan ketinggalan zaman, sebagai punca utama remaja hamil tidak mendapatkan sokongan dan bantuan dan akhirnya terpaksa membuang bayi mereka di merata tempat. Stigma dan cemuhan yang dilontarkan kepada remaja hamil ini dikatakan menjadi sebab remaja ini disingkir dan mengalami diskriminasi dari pelbagai pihak. Kelompok ini mendesak agar anak remaja belia hari ini diajar menggunakan kaedah merancang keluarga yang efektif, diberikan akses sepenuhnya kepada semua kaedah perancang keluarga (kontraseptif) dengan percuma serta diwujudkan klinik pengguguran(abortion clinics) untuk membolehkan remaja hamil mendapat perkhidmatan menggugurkan kehamilan di peringkat awal. Masyarakat juga diminta menerima hakikat bahawa inilah gaya hidup semasa generasi muda yang tidak mahu dan tidak boleh dikongkong serta bebas mengemudi arah hidupnya – semua disandarkan kepada perlunya menghormati hak asasi (human rights) individu! Dalam konteks ini, adakah kita harus membiarkan anak remaja belia tenggelam menikmati `human rights’-nya, dan kemudiannya lemas tumpas bergelumang dengan `human wrong?. Dalam masa yang sama, penulis berpendapat, hampir mustahil untuk memutar kembali roda masa ke zaman silam, menuntut anak muda hari ini kembali hidup dalam kongkongan tradisi keluarga dan komuniti. Malahan penulis berpandangan, masalah pembuangan bayi adalah kemuncak manifestasi jurang persepsi dan nilai hidup yang sedang berlaku dalam masyarakat amnya, dan keluarga khususnya – di mana terdapatnya polariti antara sikap liberal generasi muda dan sikap konservatif kelompok ibu bapa dan dewasa senior!

Di sinilah letaknya keperluan mengembalikan keseimbangan (tawazun) yang menjadi ciri utama cara hidup Islam yang diturunkan Allah SWT melalui para rasul-Nya, untuk menyantuni fitrah manusia. Selepas gerakerja pencegahan yang menterjemahkan usaha amar maaruf dilaksanakan sebaik mungkin, Islam mewajibkan pula usaha nahi mungkar dalam bentuk rawatan atau preskriptif bagi menangani perlanggaran yang telah berlaku. Pendekatan dakwah yang diambil oleh Ar-Rasul SAW  semasa mengendalikan kes wanita Al-Ghamidiyah yang hamil lantaran zina – di mana baginda SAW memberikan peluang agar bayi ( hasil perzinaan tersebut) yang dikandung selamat dilahirkan dan sempurna penyusuannya, memberikan satu pengajaran yang amat perlu diperhatikan oleh kita semua hari ini. Allah SWT memberikan ruang dan peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri sendiri selepas melalui liku hidup penuh dosa dan noda. Allah SWT juga memperuntukkan masa untuk memulihkan iman, aqidah, motivasi dan semangat untuk kembali patuh mengabdikan diri kepada-Nya. Remaja belia yang hamil, mesti dibimbing dan diasuh kembali untuk bertaubat dan hidup dengan aqidah yang soleh, akhlak yang mulia dan ukhuwwah yang mantap. Remaja lelaki yang berzina dan pernah menghamilkan wanita lain, juga amat perlu dibimbing untuk bertaubat dan kembali menjadi rijal yang mampu memimpin ummah masa depan. Keluarga dan masyarakat yang gagal membimbing dan melindungi generasi mudanya perlu terus diperkasa dengan ilmu, pedoman dan maklumat yang betul. Keseimbangan ini hanya mampu kita semua kecapi jika kita benar-benar bertekad dan mempunyai `political will’ untuk kembali menuruti setiap syariat Allah yang telah diperjelaskan.

Ayuh, galaslah tanggungjawab amar maaruf nahi mungkar ini bersama-sama. Belum cukupkah lagi petanda kerosakan yang berlaku seharian di sekeliling kita untuk mengejutkan kita dari kealpaan dan kelalaian, bahawa setiap seorang kita mesti segera memikul tugas dakwah yang besar? Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keazaman untuk terus berisitqamah di jalan-Nya.


Loves,
Dr. Har

4 responses:

illusi September 24, 2012 at 9:29 AM  

Assalamulaikum Dr. 1st of all, congrats, n thank u..this is a good article. Simple and easy to understand.

Sy tertarik dgn alasan "biar pechah di perut, jgn pecah di mulut".. tidak terbayang rasanya, jika sy berada ditmpt mereka, apa yg saya lakukan.. nauzubillah.. jauhkan sy dr perbuatan terlarang itu...

merungkai isu yg Dr. Har utarakan, isu pembuangan bayi lazimnya berlaku atau menjadi topik utama pada negara2 yg menyanjungi agama, budaya dan adat. Antaranya spt di Msia, Indonesia, India, negara2 arab (mungkin) dan negara2 yg menolak amalan zina/hubungan luar nikah.. Maaf, andainya tersalah kerana sy tidak menyelidik secara statistic, hanya mengambil kira cth2 negara yg masih kuat pegangan agamanya...

Berlainan pula dari negara2 yg tidak kesah atau umumnya negara "open".. sy mengambil Jepun sbg cthnya.. ya, mereka masih mengamalkan adat budaya yg tinggi.. namun, akibat ketidak kepercayaan pada agama yg makin meningkat, yg bg mereka agama hanya pada nama.. nilai2 moral mereka juga makin runtuh. mereka tidak menolak budaya sex luar nikah.. sehinggakan, kebanyakan remaja mereka yg berusia 20 tahun, sudah menjalinkan hub luar nikah ini. ada juga, gadis yg berusia 25 tahun tapi masih "virgin" di anggap "loser" oleh rakan sebaya.. dek kerana pemikiran begini, fenomena budaya mereka berubah..ibu bapa yg dulunya sgt conservative ttg hal hubungan lelaki perempuan sama spt kita org Msia, kini terpaksa menerima arus perubahan sosial ini..

remaja yg mengandung luar nikah dianggap biasa..NAMUN, satu perkara sy rasa penjadi sebab mereka menerima, adalah kerana budaya "dekichatta kekkon" atau dipanggil "terkahwin". Rata2 pasangan yg belum berkahwin, tp sudah mengandung, akan dikahwin kan dgn pasangannya atas kerelaan pasangan itu sendiri.. lelaki dan perempuan.. maksudnya, lelaki itu tidak lepas tangan.. mereka serius dgn hubungan yg mereka jalinkan.. oleh itu, tiada isu pembuangan bayi di negara.. si perempuan yg mengandung, beria2/seronok dgn anak yg dikandungkan, kerana bg mereka itulah lambang cinta mereka.. yg lelaki juga begitu,..mereka tidak lari, tidak menyalahkan sesama sendiri, malah berani bersemuka dgn keluarga masing2..dan rata2 keluarga menerima hubungan ini dgn baik dan memberi sokongan. akibat berkembangnya budaya spt ini, kebanyakkan anak sulong yg lahir dr sebuah keluarga adalah anak hasil dr hubungan luar nikah.. (pengalaman dr kawan2 universiti sy)

jd kesimpulannya, tidaklah perlu menyokong budaya tidak bermoral spt itu, tetapi apabila sudah jaaadi (cerita sudah termengandung) makanya, cara penerimaan masyarakat,ibu bapa, ahli keluarga (extended family) itu sendiri paling penting..si anak yg dah terbuat salah mungkin lebih realistik dan waras menghadapi situasi termengandung itu..

tapi yalah,,sudah semestinya, mencegah itu lg bagus dr merawat..oleh itu, sejak dr awal lg didikan agama, nilai sosial yg seimbang dan sempurna perlu dititik beratkan.. knp sy tekankan didikan agama dan sosial skali, kerana ada kes budak skola pondok yg pastinya kita tahu didikan agamanya kuat, tp tergamak melakukan perkara yg sama.. jd kedua2 nya mnjd element pntg dlm sistem didikan..baik di rumah, di skola, di institusi pengajian tinggi.. sudah semestinya tanggungjawab itu, bukan terbeban hanya pd guru.. ibu bapa, kakak abang, jiran tetangga, rakan2 sebaya, para pendakwah, pemimpin dan seluruhnya perlu bersama-sama menyelesaikan masalah ini..

sekadar memberi sdkt pandangan,
illusi neshi

Hamba Allah November 29, 2012 at 4:46 AM  

Apa yg golongan remaja & juga juga perlu tahu walaupun kurang didikan Ugama khususnya " Islam " ialah :
1. Beranak diluar nikah itu : hukumnya berzina ( berdosa ) dan 2. Membuang bayi itu kalau mati hukumnya : MEMBUNUH.Jadi kalau dah berdosa dgn melakukan sex diluar nikah jangan lah lagi bersubahat atau melakukan " pembunuhan ". Jadi pada orang oarang yg bukan berugama Islam mereka tekankan hal yg kedua yg saya sebuatkan diatas tadi iaitu membunuh. Itu yg nyata diantara manusia & universal truth. Berzina dosa kita dgn Allah. Membunuh dosa kita dgn Allah dan satu lagi nyawa ( manusia ).

Hamba Allah November 29, 2012 at 4:48 AM  

Apa yg golongan remaja & juga juga perlu tahu walaupun kurang didikan Ugama khususnya " Islam " ialah :
1. Beranak diluar nikah itu : hukumnya berzina ( berdosa ) dan 2. Membuang bayi itu kalau mati hukumnya : MEMBUNUH.Jadi kalau dah berdosa dgn melakukan sex diluar nikah jangan lah lagi bersubahat atau melakukan " pembunuhan ". Jadi pada orang oarang yg bukan berugama Islam mereka tekankan hal yg kedua yg saya sebuatkan diatas tadi iaitu membunuh. Itu yg nyata diantara manusia & universal truth. Berzina dosa kita dgn Allah. Membunuh dosa kita dgn Allah dan satu lagi nyawa ( manusia ).

the tempo of life January 29, 2013 at 1:38 PM  

saya rasa remaja patut baca entry ni. ramai yg tahu pasal ni tapi kadang2 terlupa dan terleka , sbb tu kita sentiasa diingatkan

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP