Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian ( Appreciating & Celebrating DIVERSITY)

>> Wednesday, May 8, 2013




Artikel ruangan Fitrah kali ini membawa tema yang begitu hampir dengan kehidupan kita sebagai manusia yang menghuni bumi Allah SWT ini buat sementara waktu. Elok benar kiranya kita menyingkap aspek kepelbagaian atau diversity yang berada di sekeliling kita. Mengapa Allah SWT menciptakan makhluk-Nya dengan segala kepelbagaian – baik dari jenis, rupa, bentuk, saiz, warna, bunyi dan bahasa pertuturan serta baka keturunan? Jawapan kepada persoalan tersebut diperolehi dari beberapa ayat Al-Quranul karim seperti yang diperturunkan di bawah :

Mafhum ayat 17, Surah An-Nahl :
Dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berbagai jenis dan macam warnanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.

Mafhum ayat 22, Surah Ar-Ruum :
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.

Mafhum ayat 13 Surah Al-Hujuraat :
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jelas sekali, tujuan utama Allah SWT menciptakan makhluk ini dengan segala kepelbagaian semata-mata untuk menjadi tanda nyata kebesaran dan keagungan-Nya. Dengan kepelbagaian tersebut, Allah SWT mewarnakan kehidupan kita dengan penuh seri. Manusia perlu mengambil kesempatan saling berkenalan dan beramah mesra, sekalipun datang dari suku kaum dan bangsa yang berbeza.

Allah SWT dengan penuh kekuasaan mampu sekali menciptakan kelompok manusia yang satu – seia dan sekata. Namun, Allah menjelaskan kepelbagaian dan `complexity’ yang ada bertujuan menguji keupayaan manusia tunduk patuh kepada perintah-Nya, sebagaimana yang dinyatakan dalam mafhum ayat berikut :

Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia menjadikan kamu satu umat, akan tetapi Allah membiarkan sesat sesiapa yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu kerjakan.
Surah An-Nahl : ayat 93


Secara amnya, manusia menangani kepelbagaian dengan tiga cara utama. 

Pertama – bertindak menolak dan membenci apa yang nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza dengannya. Tanggapan tersebut berpunca dari perasaan takabbur, bongkak dan sombong yang bersarang di dalam hati. Perasaan tersebut sentiasa menimbulkan kecurigaan, sangkaan buruk dan sifat permusuhan yang boleh berkesudahan dengan persengketaan yang berlarutan. 

Sementara cara kedua – menerima kepelbagaian sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza. Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan. Masing-masing sentiasa berhati-hati, bimbang menyinggung dan menyakitkan perasaan pihak yang berlainan. Silap perhitungan, silap haribulan – sengketa boleh tercetus bila-bila masa sekiranya terdapat pihak yang merasa tercabar dan dicabar kewibawaannya. 

Apa yang diidam-idamkan, adalah cara ketiga menangani kepelbagaian, iaitu dengan meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu kemajuan bersama.

Dalam sebuah negara yang menaungi rakyat pelbagai bangsa, keturunan, agama dan budaya seperti Malaysia, tidak dapat dinafikan kepentingan kesefahaman, sikap tolak ansur, toleransi dan hormat menjadi asas batu pelantar tonggak keamanan dan keharmonian bersama. Rakyat pelbagai kaum tidak boleh dibiarkan hidup dalam polarisasi, namun tidak harus juga digabungkan dan dicampuradukkan sehingga melunturkan serta mencairkan citra, identiti dan tradisi warisan yag dipusakai turun temurun. Keseimbangan tersebut amatlah kritikal dan perlu diusahakan menjadi agenda bersama yang utama di setiap peringkat masyarakat. Kepelbagaian ini meningkatkan cabaran dan kompleksiti yang mesti dihadapi oleh anggota masyarakatnya, dibandingkan dengan sebuah komuniti yang begitu homogenous – sebangsa, seagama, sebudaya.

Kemahiran menangani kepelbagaian (managing diversity) perlu dikuasai sepenuhnya untuk memastikan kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya suatu bebanan dan liabiliti! Usaha menyambung dan menjalin hubungan (bridging, engagement) di antara kelompok yang begitu banyak perbezaan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten dari semua pihak. Perasaan takabbur, sombong dan meninggi diri yang menjadi penghalang besar kepada sebarang usaha perpaduan mestilah segera diganti dengan perasaan hormat-menghormati. Menzahirkan tanggapan `aku lebih tinggi dan mulia dari kamu ( I am holier than thou) akan menatijahkan perkataan, perbuatan dan sikap berbau diskriminasi, prejudis dan bias terhadap pihak yang dipandang lebih rendah dan hina. Penindasan, ketidakadilan dan sengketa yang berpanjangan akan mewarnai kehidupan masyarakat. Sedangkan manusia ini sebenarnya, mempunyai lebih banyak persamaan yang dikongsi, sementara perbezaan adalah jauh lebih sedikit.

Antara usaha murni menangani kepelbagaian di kalangan masyarakat Malaysia yang sudah dimulakan adalah penganjuran sesi dialog, perbincangan dan forum inter-agama (interfaith). Penulis sendiri berpeluang dijemput beberapa kali untuk menjadi panelis dalam sesi perbincangan silang agama ( interfaith discussions) yang dianjurkan oleh banyak organisasi termasuk NGO dan beberapa persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi. Tema dan tajuk perbincangan yang dikupas banyak menjurus kepada isu sepunya yang dikongsi bersama – contohnya tema berkaitan institusi kekeluargaan, amalan perubatan, isu kontroversi  berkaitan kemajuan sains yang membabitkan nyawa, nasab keturunan. Amatlah penting untuk mempunyai sikap yang betul sebelum seorang individu melibatkan diri secara aktif di dalam perbincangan interfaith. Dia tidak sesekali boleh menggunakan ruang interfaith tersebut untuk mempromosi agamanya dengan cara merendah-rendahkan pula agama yang lain yang diwakili dalam sesi tersebut. Tujuan utama adalah untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak seagama untuk memahami apa, kenapa dan bagaimana agama yang dianuti mencorak segala aspek kehidupan masing-masing. Di akhir sesi interfaith, seharusnya timbul rasa hubungan kemesraan dan hormat-menghormati antara satu sama lain, yang akan membuahkan keharmonian yang benar-benar mantap. Dalám konteks ini, Allah SWT telah menggariskan pendirian `lakum deenu kum wali yadin’sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah Al-Kafiruun. Wajarlah bagi umat Islam menjadi pelopor kepada engagement dan hubungan dua hala dengan kelompok non-Muslim dan bukannya bertindak kedekut – menyimpan keindahan dan kerahmatan Islam di dalam poket baju masing-masing serta tidak dikongsi bersama!


Loves,
Dr. Har

0 responses:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP