Input Dr. Har dalam Seminar Mars & Venus KARISMA UIA Gombak

>> Sunday, February 28, 2010

Salam

Alhamdulillah, pagi Jumaat lepas, Dr. Har berkesempatan meluangkan masa dari 10.30 pagi hingga 12.00 tgh dgn peserta Seminar Mars & Venus anjuran KARISMA UIAM Gombak. Sambutan peserta amat menggalakkan, walaupun pagi tu hujan rahmat pagi Jumaat turun dgn lebatnya.

Tajuk yang diminta Dr. Har kupas - mengenai batasan interaksi antara lelaki dan wanita, sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Rasanya semua peserta seminar dah maklum ttg perkara ni secara teorinya, cuma bagaimana nak apply dalam realiti semasa.

Slide pertama lepas tajuk:

Men are from Mars, Women are from Venus,
Children are from Heaven,
Having to live TOGETHER on planet Earth!

Antara points yang Dr.Har gariskan:
  1. Cara kita berinteraksi dgn yang berlainan jantina - banyak dipengaruhi dgn cara kita dibesarkan oleh parents, especially BAPA kita sendiri. Kalau bapa kita sering tunjukkan contoh teladan bagaimana berinteraksi secara terhormat dan santun dgn wanita, terutamanya isterinya iaitu ibu kita sendiri, maka dengan mudah kita menjalin hubungan sihat yang profesional. Malangnya hari ni, para bapa kurang menyerlah dalam aspek sosialisasi anak-anak, terutama anak-anak lelaki. Lahirlah kelompok generasi muda yang teraba-raba dalam gelap, cuba berinteraksi dgn mereka yang berlainan jantina - keliru dgn aspek cinta, hubungan seks dan komitmen!!! Tiada lagi istilah `gentlemen'/ melindungi/ membela wanita - hari ni, pantang lepa, ngappp...........masuk perangkap. Yang perempuan pulak, tercari-cari menagih pengiktirafan lelaki, dek jiwa kosong yang tidak dibimbing oleh lelaki bernama bapa, sanggup menggadai segalanya demi apa yang dikatakan cinta kononnya!

  2. Dr.Har tak elaborate sangat perbezaan antara warga Mars & Venus ni, yang tu Pak Utih akan huraikan dalam sesi petang. Cuma yang penting, perbezaan yang ditentukan Allah SWT bukannya untuk ditelagahkan, lantaran samanya taraf kita di sisi Allah dari aspek spiritualitinya.

  3. Dalam berorganisasi, asas perhubungan mesti terus dipelihara. Lelaki sememangnya diciptakan Allah memegang tgjwab `qawwama' ( Surat An-Nisa : 34) - mereka perlu diberikan KEPERCAYAAN (TRUST) utk. memimpin diri mereka sendiri kemudian orang lain. So, akhawat kena sentiasa ingat yang tu. Jangan bimbang, they can do it, ladies. You just have to give them the space.

  4. Wanita pula, jangan pula terbelenggu dgn pepatah melayu ` Ibarat mentimun, tergolek luka, bergolek pun luka'. Women in the eyes of men, depend very much on how they look at themselves! Kalau asyik merasa lemah, hina dina, tak berupaya...............tak boleh lah Dr.Har nak tolong lagi, eh!

  5. Di akhir kalam, Dr.Har refleksi apa yang pernah Dr.Har lalui masa di bangku kampus dulu, bila mula komited dgn dakwah ni. Teringat sangat pesanan naqibah : `Ingat, ujian pertama para duat adalah wanita!' so, minta sgt jaga akhlak, jangan sampai ikhwah terkantoi dakwah kerana godaan kita ni. Pernah juga bertanya dalam hati, aisyeh man..........dalam kita berusaha gigih nak pulun dakwah ni, masih jadi ancaman pulak pada du'at lelaki. Hari ni, selepas hampir duapuluh tahun di arena dakwah umum, Dr.Har buat this conclusion : `Ujian pertama bagi pendakwah wanita adalah lelaki, sebagaimana juga ujian pertama buat pendakwah lelaki adalah wanita!

Dr Har shared this tazkeerah : Seringkali Ustaz Zul buat refleksi - kalaulah abang tak kahwin dgn Har, entah kat mana abang sekarang ni, tentunya tidak lagi di atas jalan dakwah ni. Same goes with me : kalau Har tak kahwin dgn abang, tak tahulah apa yang Har buat sekarang ni, paling pasti mungkin tak de kat dalam JIM ni lagi.

Kesimpulan : Betapa kita memerlukan satu sama lain, lengkap-melengkapi dalam perjalanan mengumpul bekalan menuju redha Allah. Jangan buang masa...........ayuh segera mengorak langkah sederap melonjakkan aktivisme dakwah!

Sayang you all semua,
Dr.Har

Read more...

KENYATAAN MEDIA JIM: TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

>> Wednesday, February 24, 2010

Kenyataan Media Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
22 Februari 2010

TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi. Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk ` Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas. Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan.

JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya. Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain.

Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar :

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkahlaku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.

Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis.

JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

Kenyataan Media JIM mengenai pembuangan bayi

>> Thursday, February 18, 2010



Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
12 Februari 2010

ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!

JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).

Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
Tahun2006200720082009 (sehingga Mei)
Jumlah Kes537610233


Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.

Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?

JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.

JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua - dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.

JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.

Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni dalam komuniti. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .

JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas : Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam).

Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.

Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.

Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja! Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.

JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!


Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP