Salam
Entah kenapa, tiba-tiba Prof. Har teringat pada kalian semua. Terasa lama benar tak berutus khabar. Yang selalu sms dulu, dah lama juga tak menyapa dan datang menjengok. Pastinya engaged dengan kerja seharian yang begitu menguji kesabaran, keyakinan dan semangat.
Dah masuk posting kedua, nampaknya. Alhamdulillah, tentu dah mula mengutip pengalaman, alah bisa tegal biasa. Sekalipun kepenatan, namun puas kerana dapat berjasa kepada manusia. Terasa berbaloi hidup di dunia, yakin sungguh akhirat nanti pasti ada ganjarannya.
Jangan lupa sentiasa memurnikan niat di hati. Ikhlas, ikhlas, ikhlas - pasti semua yang sukar jadi ringan, yang menghimpit jadi lapang.
Dalam kemelut kerja, masih sempat menjengok status iman di dalam hatimu?
Solatmu bagaimana - makin khusyuk atau semakin hambar tiada perisa?
Bacaan Al-Quranmu? Masih mampu istiqamah sehari selembar bertilawah?
Usrahmu? Sudah lama tidak menjengok naqib/naqibah yang serba salah, mahu bertegas minta kalian datang halaqah mingguan, maklum sungguh kekangan kerja yang begitu mencabar. Namun kalau terus menerus terbiar, bimbang tangki iman dan taqwa kering kontang berada di level `E' ( empty), harus segera menambah bahanapi ( fuel) iman ni!
Benar, apa yang kau lalui saban hari memang tarbiyah amali yang tiada galang ganti. Cuma kesungguhanmu berada di dalam lingkungan usrah akan menjadi ikatan yang tidak akan goyah, antara kamu dan keazamanmu meniti jalan dakwah.
Namun jika sudah bulat tekad, tiada lagi istilah usrah, tarbiah, daurah dan halaqah sepanjang sudah bergelar `doktor' ini, ku doakan kalian terus menerus dalam pemeliharaan Allah SWT. Sesungguhnya, jagalah imanmu, aset terpenting bagi masa depanmu, nak.
Moga kita akan berjiran nanti di dalam syurga yang penuh keindahan dan ketenangan.
Ummi kalian yang takkan henti-henti mendoakan :
Prof.Har
PPUKM
Read more...