MEMASTIKAN KEHAMILAN & PROSES KELAHIRAN LEBIH SELAMAT – INISIATIF KEIBUAN SELAMAT

>> Monday, December 30, 2013

MAKING PREGNANCY SAFER – SAFE MOTHERHOOD INITIATIVES



Bahagian I : Dari mana kita bermula?

 Bonda saya Hjh Siti Ramlah Anuar selamat melahirkan kelapan-lapan anaknya di rumah dengan izin Allah SWT. Bermula dari anak sulong pada tahun 1952 hinggalah kepada anak bongsu pada tahun 1976. Saya anak yang keenam (1966) – yang pertama lahir di Sungai Besar Selangor selepas almarhum ayahanda berpindah ke situ dari Kelang pada tahun 1963. Bidan kampung yang menyambut saya bernama Makcik Ruminah. Dia jugalah yang menyambut kelahiran dua adik saya selepas itu. Saya ada di rumah ketika pagi Ahad 10 Ramadhan semasa Makcik Ruminah membantu bonda melahirkan adik bongsu saya pada tahun 1976. Amat mencemaskan suasana pagi itu – ayahanda tak putus-putus solat hajat mendoakan kesejahteraan bonda & adik yang bakal lahir. Tepat jam 10.20 pagi, terdengar suara teriakan tangisan pertama bayi comel lelaki memecah keheningan pagi yang berkah itu. Alhamdulillah, semuanya selamat tanpa sebarang komplikasi.

Disebalik kegembiraan menyambut kehadiran adik comel saya itu, terdetik di dalam hati kecil saya sebagai seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ketika itu, saya berazam bila saya melahirkan anak nanti, saya mahu berada di hospital! Entah mengapa saya menanam keazaman tersebut……mungkin kerana saya memang mahu jadi seorang doktor semenjak berumur 5 tahun lagi! Ketika itu, saya tidak langsung menyedari bahawa kadar kematian ibu hamil dan melahirkan (Maternal Mortality Ratio –MMR) di Malaysia sedang mengalami tren menurun yang signifikan – 170 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1966 mencecah kepada 70 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1976, sepuluh tahun kemudian. 

Apabila giliran saya pula menjadi seorang ibu, kadar kematian ibu (MMR) di Malaysia sudah mencecah statistik yang rendah dan amat membanggakan . Saya melahirkan keempat-empat cahayamata saya di hospital – Syifa Hana di Hospital Teluk Intan (1993), almarhum Sofwan Hanif (1995) & Anwar Syamil (1997) lahir di Hospital Bersalin KL dan Deena Sofiyya (2002) lahir di PPUKM. Tentu tidak langsung menghairankan memandangkan saya sendiri seorang doktor yang mengkhusus dalam kepakaran Perbidanan & Sakit Puan.

Kadar kematian ibu di Malaysia ketika tempoh masa tersebut berada dalam lingkungan 30 – 40 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup, satu indikator kejayaan usaha Malaysia terlibat sama dalam satu inisiatif bersepadu di peringkat antarabangsa yang dinamakan Safe Motherhood Initiatives yang diperkenalkan pada tahun 1987. Inisiatif ini menggariskan empat tunggak utama untuk menjadikan kehamilan dan kelahiran lebih selamat  :



  1.  Perancangan Keluarga ( setiap kehamilan dirancang, direncana dan dikehendaki) 
  2.  Jagaan antenatal ( pemeriksaan kesihatan berkala semasa kehamilan) 
  3.  Kelahiran selamat dan bersih ( proses kelahiran dipantau dengan partogram, pengendalian aktif bagi tahap ketiga kelahiran serta persekitaran yang hygenic) 
  4.  Jagaan obstetrik (kebidanan) yang asas ( pengendalian oleh pasukan yang terlatih menghadapi komplikasi kehamilan dan kelahiran, ubat-ubatan, infrastruktur seperti bekalan elektrik, kenderaan serta hubungan telekomunikasi dan kemudahan kesihatan yang lengkap – dewan bedah untuk pembedahan caesarean, tabung darah untuk bekalan darah yang segera dan unit jagaan bayi baru lahir untuk resusitasi bayi) 


 Alhamdulillah, hari ini, MMR Malaysia sudah mencecah 27 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup. Kita masih perlu menurunkan MMR kepada kadar yang lebih rendah – sebagaimana yang ditetapkan oleh Sasaran Pembangunan Millennium ( Millennium Developmental Goal – MDG) kelima. Antara kejayaan utama Malaysia menurunkan MMR adalah apabila kelahiran selamat (safe delivery) yang ditakrifkan sebagai kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dapat ditingkatkan dari kurang 55% pada tahun 50an kepada peratusan 98.5% hari ini. Satu lagi faktor kejayaan adalah keutamaan yang diberikan oleh sistem kesihatan di Malaysia kepada kes kematian ibu. Setiap satu kematian ibu mesti disiasat secara mendalam di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat . Laporan lengkap mesti disediakan untuk dibentangkan di peringkat daerah, negeri dan pusat serta dimasukkan ke dalam Confidential Enquiry into Maternal Deaths (CEMD) yang dilaporkan secara bertulis setiap tiga tahun. Tujuan utama adalah untuk mengenalpasti faktor jagaan substandard yang perlu dibaiki di setiap peringkat.

Kejayaan Malaysia menurunkan MMR ke tahap yang rendah menjadi buah mulut dan contoh teladan di peringkat WHO dan dunia. Tun Dr Siti Hasmah dengan kapasitinya sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia ketika itu, sering diundang ke persidangan dunia untuk berkongsi pengalaman Malaysia melaksanakan insiatif ini. Malahan semasa Dr Har belajar di peringkat sarjana muda perubatan, kami sering diingatkan bahawa tahap jagaan kesihatan ibu dan anak (Maternal Child Health - MCH) adalah antara yang terbaik di rantau ini.

Tidak hairanlah sekiranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius dua kes kematian ibu di rumah yang berlaku baru-baru ini. Sebenarnya begitu banyak usaha dan payah jerih yang dikorbankan untuk mencapai tahap kesihatan ibu yang sedia ada hari ini. Mungkin kerana begitu jarang sekali kedengaran wanita hamil hari ini yang berhadapan dengan risiko kematian (walaupun masih tetap ada berlaku pada kadar yang rendah ), masyarakat umum mula merasakan proses kehamilan dan kelahiran sebagai sesuatu yang natural dan biasa-biasa sahaja. Sehingga ramai bakal ibu serta ibu muda yang kurang menyedari betapa proses kehamilan dan kelahiran tidak seharusnya dipandang remeh dan ringan. Alangkah malangnya bila beberapa nyawa ibu harus melayang untuk membangunkan kita dari lena yang panjang (complacency) – untuk kembali meletakkan kehamilan dan kelahiran di tempat keutamaan yang sepatutnya.

 Bahagian II : Kejayaan sebuah proses kelahiran 

 Di hujung suatu pengalaman kehamilan, menunggu satu lagi peristiwa yang amat mendebarkan setiap wanita yang ditakdirkan Allah SWT untuk mengandungkan zuriat keturunannya. Pelbagai soalan yang menerpa ke dalam benak fikirannya. Nampak tenang dan bersahaja di luaran, namun hati dan perasaan di dalam, hanya Allah SWT yang tahu! Tanpa dipinta, rakan sekeliling dan sahabat taulan berkongsi pengalaman masing-masing – ada yang positif, ada yang negatif, ada yang suka ada yang duka. Tempoh sembilan bulan bukan tempoh yang sekejap – cukup lama untuk seorang bakal ibu membuat persediaan fizikal, mental, emosi dan spiritual. Masakan tidak, di hujung kehamilan mungkin ada kehidupan baru yang bermula, namun tidak juga mustahil ada nyawa yang melayang. Seorang Profesor O&G saya pernah mengingatkan – bahawa setiap wanita yang hamil ibarat duduk di atas bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa! Dalam buku teks perbidanan, sering ditekankan mengenai tiga faktor yang bermula dengan huruf `P’ yang akan menentukan kelancaran proses kelahiran ( Three Ps that govern labour) :

  1. Power ( Kuasa) – merujuk kepada kekerapan dan kekuatan pengecutan atau kontraksi otot rahim. Lebih kuat dan kerap, lebih cepatlah proses kelahiran bayi. 
  2.  Passenger ( Penumpang) – saiz dan kedudukan janin akan mempengaruhi proses kelahiran. Janin bersaiz kecil lebih cepat kelahirannya jika dibandingkan dengan janin yang besar (macrosomia). Kedudukan kepala janin yang menunduk lebih mudah dilahirkan dari yang mendongak. 
  3. Passage ( Laluan) – struktur tulang punggung atau pelvis yang menjadi laluan untuk janin keluar dari rahim ibu. Struktur tulang pelvis yang kecil akan menghalang proses kelahiran normal janin, yang akan menyebabkan kelahiran terhalang ( obstructed labour). 


 Seorang lagi professor saya menambahkan dua lagi faktor penting yang mempengaruhi proses kelahiran – juga bermula dengan huruf `P’.


  • 4.   Practitioner ( Pengamal) – individu yang mengendalikan dan membantu proses kelahiran. Seorang yang mempunyai pengetahuan, latihan, pengalaman serta kelayakan dalam bidang kebidanan mampu mengendalikan proses kelahiran dengan baik, disamping mengenalpasti komplikasi dan masalah di peringkat awal serta mengambil langkah lanjut yang sewajarnya. 
  • 5.   Psychological preparation (Persediaan psikologi) – ibu yang mempunyai persediaan psikologikal yang baik serta berpengalaman lebih tenang mengawal ketakutan dan yakin menghadapi kesakitan dan proses kelahiran. Pembukaan pintu rahim, teknik pernafasan dan kontraksi otot rahim akan lebih lancar dan terkoordinasi apabila siibu mampu mengawal emosi dan lebih bekerjasama dengan arahan yang diberikan. 


Sebagai seorang yang pernah empat kali melalui proses kehamilan dan kelahiran, saya yakin dua faktor tambahan ini amat penting peranannya. Persediaan mental, psikologi dan spiritual perlu dimulakan semenjak dari awal kehamilan lagi, disamping pemeriksaan fizikal yang diadakan setiap bulan. Hubungan dengan Allah SWT yang menjadi tempat penggantungan mutlak amat perlu diperteguhkan dengan meningkatkan amalan ibadah khusus dan sunat, membaca dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran saban hari, memanjatkan doa-doa yang matsur, memperbanyakkan sedekah dan infaq serta sentiasa memuhasabah diri, memperbaiki akhlak dan menguatkan keazaman untuk menjadi ibu yang solehah kepada zuriat yang soleh dan musleh. Sokongan suami yang prihatin dan penyayang begitu kritikal dalam memberi semangat kepada seorang wanita yang sedang berjihad melalui kehamilan dan kelahiran. Begitu jua dokongan dari ibu bapa kandung dan mertua, adik beradik, ipar duai serta rakan sekerja – mampu meningkatkan keyakinan dan keazaman siibu.

Siapa yang akan membantu dan di mana tempat hendak melahirkan bayi juga amatlah penting untuk ditentukan oleh setiap wanita hamil. Setiap ibu hamil mahukan kesudahan yang selamat dan membahagiakan – seorang bayi comel yang sihat walafiat, disamping ibu yang juga sejahtera untuk menyambung peranan keibuannya selepas berhempas pulas bersabung nyawa. Tidak keterlaluan sekiranya mereka mengharapkan layanan yang baik, penuh perikemanusiaan dan belas kasihan semasa detik cemas melahirkan, dari kalangan mereka yang dikenali dan mengenalinya. Malangnya, perkhidmatan di hospital dan klinik hari ini semakin rigid dan kaku. Dengan kecanggihan teknologi yang dikatakan mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, sentuhan dan komunikasi interpersonal antara pesakit dengan pengamal perubatan semakin luntur terhakis. Hari ini, kita berhadapan dengan situasi meruncing, di mana ramai pesakit yang semakin curiga (sceptical) dan kurang yakin dengan setiap tindakan atas nama rawatan dan pengubatan yang diambil oleh doktornya, sementara doktornya pula semakin bimbang dan sentiasa rasa terancam oleh kemungkinan pesakitnya akan mengheretnya ke muka keadilan atas tuduhan kecuaian dan ketidakcekapan (negligence & incompetence).

Tidak menghairan sama sekali apabila hari ini, ramai ibu muda yang baru sekali dua melalui kehamilan memilih pendekatan alternatif yang dirasakan lebih memenuhi keperluannya. Tumbuhlah bagai cendawan selepas hujan – golongan yang membuat promosi mengenai kelahiran semulajadi di rumah (natural home birth), kelahiran dalam air (waterbirth), hypnobirth, kelahiran lotus (lotus birth), gentlebirth dan pendidik kelahiran (childbirth educator or doula). Sememangnya pesakit mempunyai autonomi untuk memilih siapa yang akan membantu proses kelahiran bayinya, juga di mana dia hendak melahirkan. Namun tiada yang lebih penting dan utama dari ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada proses kelahiran yang selamat dan sejahtera. Kita tidak harus menunggu satu lagi kematian ibu yang berlaku di kalangan mereka yang memilih mengambil risiko sendiri melalui proses kelahiran tanpa empat tonggak insiatif keibuan selamat untuk menyedarkan kita agar mengambil langkah penambahbaikan yang drastik, efektif dan komprehensif.

Bahagian III : Bagaimana selepas ini? 

Saya menerima permintaan rakan saya Toh Puan Dr Safurah Jaafar, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) di Kementerian Kesihatan Malaysia agar memaklumkan notis berikut kepada pembaca blog dan rakan-rakan FB saya :

 IF YOU WANT TO DELIVER AT HOME CALL THE NEAREST HEALTH CLINICS OR COMMUNITY CLINICS - OUR NURSES ARE TRAINED AND CREDENTIALLED Malaysia takes pride in the fact that the percentage of safe deliveries i.e. delivery conducted by a trained person in the country is 98.5% from less than 50% in the fifties. With the improvement of obstetrical care by trained midwives and doctors, the maternal mortality has declined from 700 per 100,000 live births then in the fifties to down about 27 per 100,000 today. THE MOH would like to request that any woman who undertakes a pregnancy must seek care from a trained doctor or midwife. This is because complications may arise at any time that affects either the mother or baby. Emergency obstetric care must then be available speedily to safe life. In Malaysia there are more than 2500 trained government midwives or Jururawat Desa and Registered Public Health Nurses registered who can conduct delivery at home for those pregnant mothers who are have been examined to have little if no obstetric risks. If you need any information about home birth please call any Klinik Kesihatan or Klinik Ibu dan Anak or Klinik Desa for assistance. You can also visit the MOH website (http://moh.gov.my) to locate your nearest clinic or the Family Health Development Division website. http://fh.moh.gov.my/v3/index.php/en/direktori-klinik

Saranan saya untuk para ibu yang sedang hamil dan yang bakal hamil :
1. Pastikan kehamilan anda dirancang, direncana dan dikehendaki, bukannya secara tidak sengaja atau dalam keadaan belum bersedia.
2. Dapatkan jagaan kesihatan kehamilan secara optimum diperolehi semenjak awal lagi dari pusat kesihatan atau klinik yang berdekatan
3. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mantap berkaitan kehamilan dan proses kelahiran sebagai persediaan mental
4. Jalinlah hubungan kemesraan dengan suami, ahli keluarga dan rakan taulan untuk mendapatkan sokongan emosi yang mantap
5. Pertingkatkan persediaan spiritual dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT – khatamkan tadabbur Al Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang kehamilan
6. Sekiranya memilih untuk melahirkan di rumah, dapatkan dahulu nasihat dari pengamal perubatan terlatih – sama ada anda memenuhi syarat kod putih yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Maklumkan kepada jururawat yang menjaga bila proses kelahiran bermula supaya dapat dibuat penilaian awal.
 7. Sekiranya mahu kehadiran doula bersama untuk sokongan psikologikal, maklumkan kepada pengamal perubatan yang menjaga proses kelahiran anda. Permintaan anda mungkin akan dipertimbangkan bergantung kepada keadaan.

Saranan saya kepada Kementerian Kesihatan dan pasukan pengamal perubatan:
1. Pertingkatkan mutu komunikasi dengan pesakit agar hubungan antara doktor-pesakit menghasilkan kerjasama yang baik
2. Ambil pendekatan inklusif dengan mengadakan jalinan persefahaman dan engagement dengan kelompok yang mempromosikan kelahiran alternatif, agar mereka dapat memberi nasihat yang betul dan membantu ibu membuat pilihan yang selamat.

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita untuk terus memainkan peranan yang berkesan dalam membangunkan sebuah masyarakat berilmu, bermaklumat dan sejahtera, InsyaAllah.

Loves : Dr Har

Read more...

ISU TUNTUTAN HANYA DOKTOR WANITA DI BILIK BERSALIN : Pandangan Peribadi Dr.Har

>> Sunday, December 1, 2013

Berikut adalah pandangan peribadi Dr Har, tidak mewakili mana2 institusi atau organisasi yang berkaitan. Mohon dibaca dengan lapang dada dan fikiran, kerana pastinya akan ada pandangan yang bertentangan, berlawanan dan tidak secocok dgn pegangan peribadi pembaca. Artikel ini juga sekadar nukilan biasa, bukan satu kertas kerja ilmiah. Bukan juga suatu usaha yang sengaja mahu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk-Nya yang mulia kepada setiap kita yang ikhlas mahu meraih keredhaan-Nya!

Sejak akhir-akhir  ini, semakin lantang desakan agar perkhidmatan jagaan perubatan mengkhusus , di mana aspek gender diketengahkan semula setelah sekian lama perkara ini tidak ditimbulkan, menggunakan peruntukan keadaan darurat selama ini. Semakin kuat tekanan menuntut pesakit wanita hanya dirawat oleh perawat dan doktor wanita sahaja, terutamanya semasa berada di bilik bersalin.

Selain permintaan tersebut datang dari wanita sendiri, tidak kurang hebatnya kaum lelaki selaku suami yang begitu bertegas mahu tuntutan in dipenuhi segera! Tentu sekali cemas para sang suami apabila bimbang dihukum dayus kerana tidak dapat memastikan aurat isteri mereka sentiasa tertutup dan terpelihara semasa bersalin – dengan adanya doktor lelaki yang memeriksa dan menyambut kelahiran bayi. Hingga dikhabarkan, adanya para suami yang berani bertindak mengambil risiko menyambut kelahiran bayi mereka sendiri di rumah kerana semata-mata tidak mahu membawa isteri ke hospital kerana bimbang aurat isteri tidak dapat dijaga dari pandangan lelaki ajnabi.

Disebabkan suami bukanlah seorang yang terlatih dalam aspek ini, sudah terdapat beberapa insiden kelahiran di rumah  yang melibatkan komplikasi kepada ibu dan bayi yang lahir seperti tumpah darah (postpartum haemorrhage), lekat uri ( retained placenta) dan bayi lemas (neonatal asphyxia). Bagi kami yang terlibat secara langsung dalam penjagaan ibu dan bayi (maternal & neonatal health), komplikasi ini amat serius sekalipun belum banyak kes yang dilaporkan. Memang adat orang bersalin, komplikasi ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi oleh setiap ibu yang menyabung nyawa melahirkan seorang manusia baru ke dunia. Namun, pencegahan dan rawatan segera perlu dilaksanakan untuk mengelakkan mortaliti (kematian) dan morbiditi (kecederaan) kepada ibu yang sewajarnya terus sihat untuk menjaga & menyusukan anak yang baru lahir.

Dr Har akan menghurai pandangan mengikut corak soal dan jawab.

Soalan (1) : Boleh tak pesakit meminta hanya doktor dan perawat perempuan sahaja yang dibolehkan membuat pemeriksaan organ reproduksi seperti VE (vaginal examination), buat calitan Pap dan semasa melahirkan kandungan?

Jawapan (1)
Tentu sekali boleh. Ini berpandukan prinsip etika perubatan : prinsip autonomi atau prinsip kebebasan pesakit sama ada bersetuju atau tidak mendapatkan rawatan, disamping memilih siapa yang merawat.
Di Fakulti Perubatan UKM, melalui modul Perkembangan Kendiri dan Profesionalisme ( Personal & Professional Development –PPD) pada tahun tiga semasa posting klinikal O&G, Dr. Hard an rakan-rakan tenaga pengajar di Jabatan O&G sering menasihati pelajar perubatan agar memenuhi dan menghormati permintaan pesakit khususnya jika dia tidak selesa dan merasa malu diperiksa oleh seorang doktor lelaki.  Jangan sekali-kali memperlecehkan permintaannya dan cuba sedaya mungkin mencarikan doktor wanita untuk membantu.
Namun pesakit dan suami juga harus faham, pergiliran dalam sistem bekerja seharian bagi para doktor di hospital dan klinik kerajaan khasnya, menyebabkan ada kemungkinan tiada doktor perempuan yang bertugas pada satu-satu waktu tersebut. Jika ini berlaku, agak sukar doktor hendak memenuhi kehendak dan permintaan pesakit. Namun, kami tetap akan mencuba!
Satu lagi, mintalah bantuan dari perawat dan doktor dengan baik tuturkata, berbudi bahasa dan bersopan santun. Tak perlulah marah-marah, menengking dan mengherdik. Bukankah kita ini terkenal dengan budi bahasa dan adab sopan? Terutama mereka yang tergolong dalam lingkungan pencinta ad deenul haq, Islam yg mulia ini – lebih lagi diharapkan dapat menunjukkan akhlak yang baik dan terpuji.

Soalan (2) Memandangkan sudah ramai bilangan doktor wanita di Malaysia, hendaklah diwujudkan satu polisi awam di mana hanya doktor perempuan sahaja yang merawat pesakit wanita di bilik bersalin, dengan itu terpeliharalah aurat mereka dari dilihat lelaki selain suami.

Jawapan (2)
Untuk menjaga hak dan autonomi pesakit sentiasa terpelihara, sebagaimana hak pesakit wanita yang mahukan hanya doktor dan perawat perempuan yang merawatnya, prinsip perubatan juga menggariskan tidak wajar diwujudkan satu ketetapan yang memaksa pesakit dan menafikan hak dan autonomi untuk memilih siapa doktornya. Maka sekiranya seorang pesakit mahu seorang doktor lelaki memeriksanya, begitu juga sebaliknya, ia wajar mendapat apa yang diinginkannya.
Sekiranya peraturan tersebut mahu diimplementasi dengan adil dan saksama, sudah barang tentu perlu  juga ditetapkan pesakit lelaki  hanya boleh dirawat oleh doktor dan perawat lelaki. Namun mengikut pengalaman peribadi saya menjadi pengamal perubatan selama lebih dua puluh tahun ini, hampir tidak pernah kedengaran desakan dan keperluan sebegitu. Jika para suami menggunakan alasan tubuh badan isterinya hanyalah untuknya dan tidak boleh dilihat oleh lelaki lain melainkan dalam suasana darurat, wajar juga para isteri juga mendesak agar pihak hospital menyediakan doktor dan perawat lelaki sahaja untuk suami mereka agar tiada perempuan lain yang boleh melihat tubuh badan suaminya!
Perlu barang diingat, amalan perubatan dilingkungi oleh kod etika yang tegas, bertujuan menjaga kebajikan para doktor dan pesakitnya. Sekiranya seorang doktor lelaki diperlukan menyambut kelahiran bayi, dia tidak dibiarkan berdua-duaan dengan pesakit wanitanya. Kod etika mewajibkan dia memastikan adanya kehadiran `chaperon’ ataupun pihak ketiga pada setiap kali dia perlu merawat pesakit yang berlainan gender dengannya. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menghuraikan tentang kehadiran chaperon melalui artikel 3.3 dalam Good Medical Practice Guidelines:

A doctor must always examine a patient, whether female or male, or a child, with a chaperon being physically present in the consultation room, with visual and aural contact throughout the proceedings.
These requisites are designed to allow the doctor to proceed with clear, unhampered clinical examination of the patient, as he deems appropriate for the purpose of arriving at a proper diagnosis, without later having to defend his actions.

( Seorang doktor mestilah sentiasa memeriksa seorang pesakit sama ada lelaki atau wanita atau kanak-kanak, dengan kehadiran seorang peneman (chaperon) yang sentiasa hadir secara fizikal di bilik konsultasi tersebut, yang boleh melihat dan mendengar segala kejadian sepanjang pemeriksaan dijalankan.  
Ketetapan ini direkabentuk untuk membolehkan doktor meneruskan pemeriksaan klinikal dengan jelas dan tidak terganggu, sebagaimana yang dirasakan perlu untuk membuat diagnosis, tanpa kemudiannya perlu dia mempertahankan segala tindakan yang diambilnya.)

Soalan (3) Mengapa perlu pelajar perubatan lelaki dilatih mengendalikan kelahiran dan memeriksa alat kelamin wanita? Sepatutnya, doktor lelaki hanya perlu dilatih untuk merawat pesakit lelaki sahaja, sebagaimana juga doktor wanita hanya untuk mengendalikan pesakit wanita sahaja
.
Jawapan (3) 
Sekolah-sekolah perubatan di dunia diamanahkan untuk melatih para doktor yang mempunyai kompetensi atau kemahiran asas dalam bidang perubatan. Termasuk dalam kemahiran asas tersebut adalah kebolehan memeriksa sistem reproduksi wanita dan lelaki serta mengendalikan segala masalah kesihatan yang berkaitan. Maka setiap pelajar perubatan lelaki mestilah belajar bagaimana hendak melakukan pemeriksaan dalaman (VE), membuat calitan Pap dan menyambut kelahiran bayi, sebagaimana juga pelajar perubatan perempuan mesti boleh memeriksa bahagian sulit badan lelaki dan memasukkan saluran tiub atau catheter ke dalam salur kencing lelaki.

Soalan (4) Mengapa ada segelintir doktor lelaki Muslim yang memilih kepakaran perbidanan dan ginekologi sebagai bidang pengkhususan mereka? Tidakkah mereka merasa berdosa apabila sentiasa melihat aurat wanita yang bukan isteri mereka?

Jawapan (4)
Soalan tersebut perlu dijawab sendiri oleh pakar O&G lelaki Muslim yang telah membuat pilihan tersebut.
Namun saya ingin menegaskan di sini, semua pakar O&G lelaki, baik yang Muslim atau yang bukan Muslim, yang saya kenali secara peribadi adalah terdiri dari pengamal perubatan yang amat professional dalam tugas mereka, amanah, berwibawa, cekap dan amat teliti menjaga kerahsiaan (confidentiality) pesakit. Mereka tidak menganggap amanah tugas menjaga dan merawat wanita yang memberi mereka kelebihan (advantage) untuk melihat aurat wanita sebagai satu kesempatan memenuhi nafsu syahwat yang liar. Sekiranya seseorang doktor itu melanggar batas kesusilaan dan mengeksploitasi pesakit yang mempercayainya, dia mesti diadukan kepada pihak atasan untuk diambil tindakan tegas, kerana tindakan tidak sopan itu mencalarkan kredibiliti dan integriti profesyen kedoktoran yang perlu sentiasa dipertahankan.

Diharapkan penjelasan yang diberikan dapat menyuluh sedikit pencerahan kepada kekaburan yang sekian lama berlegar di sekitar isu ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu para bakal ibu dan ayah membuat keputusan terbaik, paling selamat dan paling bijak untuk kesejahteraan anak yang bakal lahir. Janganlah lantaran tegas mahukan kepatuhan kepada peraturan Islam, agama yang indah dan paling bertimbangrasa yang merupakan rahmat kepada sekelian alam ini, kita mengambil risiko besar mempertaruhkan nyawa ibu dan bayi dengan membuat keputusan terburu-buru dan kurang bijak, mengenepikan bantuan profesional dan terlatih. Dalam masa yang sama juga, janganlah kita terlalu mengambil enteng ataupun tidak langsung kisah dengan garispanduan dan peraturan agama yang bertujuan membimbing kita ke arah kebaikan semata-mata.

Nasihat Dr. Har kepada wanita dan suami yang mahu memastikan kehamilan dan kelahiran bayi kesayangan mereka terus menerus patuh-syariah (syariah - compliant) untuk melakukan beberapa langkah berikut :

  1.      Sekiranya mempunyai kelebihan rezeki dan kemampuan ekonomi, dapatkan rawatan dari pakar O&G wanita Muslimah yang mempunyai klinik di kebanyakan hospital swasta atau di klinik pakar khas di hospital awam. Mohon maaf kerana setakat ini, inilah satu2nya cara terbaik untuk memastikan kehamilan dan kelahiran bayi anda dijaga oleh seorang doktor Muslimah.
  2.     Nyatakan dari awal lawatan antenatal di klinik dan hospital awam, tentang hasrat dan permintaan anda meminta agar sekiranya perlu diperiksa bahagian dalaman dan dikendalikan proses kelahiran, seboleh mungkin oleh doktor  atau perawat perempuan.
  3.     Kehadiran suami di sisi isteri semasa di bilik bersalin boleh membantu permintaan tersebut dipenuhi seboleh mungkin. Nyatakan sekali lagi hasrat dan hajat anda yang mahukan kehadiran doktor dan perawat wanita kepada petugas bilik bersalin ketika saat sakit bersalin tiba – dengan tegas namun penuh harapan, hormat dan sopan. Percayalah, anda akan dapati para petugas ini juga manusia biasa, yang mahu dihormati dan dihargai. InsyaAllah, hajat anda akan cuba dipenuhi oleh mereka.  
  4.     Berdoa agar mendapat rezeki yang baik  semasa hendak melahirkan – seperti kebetulan dalam shift tersebut, semua doktor yang bertugas adalah doktor perempuan. ( Ini pernah berlaku kepada beberapa orang pesakit saya yang gigih bermunajat sepanjang kehamilan, memohon Allah SWT menetapkan segala berjalan lancar menurut syariah.
  5.      Memohon kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui, agar pasukan doktor dan jururawat yang bertugas semasa saat kelahiran bayi kita nanti, adalah kelompok petugas yang paling cekap, berpengalaman dan berwibawa yang akan membantu kelahiran yang selamat, tanpa mengira apakah gender, agama anutan dan kepercayaan mereka.


Wallahu a'lam
Loves : Dr Har 


Read more...

>> Friday, November 1, 2013

Jalan Fitrah menuju Kebahagiaan Hakiki

Perkataan bahagia dan kebahagiaan amat sering bermain di bibir manusia. Kebahagiaan menjadi matlamat dan halatuju, motivasi serta alasan untuk hidup sehari lagi. Bahagia sering dikejar dan diburu manusia, seolah-olah ianya sebuah entiti yang punya daya sendiri untuk bergerak menjauh dan pergi. Namun apakah sebenarnya definisi `kebahagiaan’itu? Bagaimanakah gambaran dan deskripsi perasaan tersebut? Siapakah yang dikatakan bahagia? Apakah tanda sebuah kebahagiaan? Bolehkah kebahagiaan itu hilang lenyap, pergi dan datang kembali? Dapatkah kebahagiaan itu dikongsi dan dinikmati bersama dengan orang lain? Bolehkah kebahagiaan seseorang mengakibatkan penderitaan kepada seorang manusia yang lain? Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, sebuah buku yang tebal pun belum tentu mampu menghurai dan memberi jawapan kepada setiap persoalan yang ditanyakan berkenaan `bahagia dan kebahagiaan’ini.

Satu lagi persoalan utama yang mesti dijawab terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjut mengenai `kebahagiaan’boleh diteruskan. Mampukah sebenarnya manusia ini mengecap kebahagiaan? Sekiranya bahagia itu diukur dengan kekayaan material yang bertimbun, pangkat kedudukan yang tinggi melangit, kekuasaan, populariti dan pengaruh yang meluas, mengapa begitu ramai manusia yang sudahpun memiliki semua itu masih terkial-kial mencari lebih banyak kebahagiaan? Mengapa mereka semakin tamak mengejar harta, wang ringgit, kuasa, pangkat dan kedudukan ? Peribahasa Melayu `Diberi betis, mahukan peha’- amat tepat dalam menggambarkan ketamakan dan nafsu serakah manusia yang tidak pernah kenal erti puas ini! Begitulah manusia lumrahnya memburu dan terus mengejar bahagia yang tidak juga kunjung tiba!

Hayatilah mafhum ayat-ayat Al-Quran yang diperturunkan di bawah ini :

`Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.
( Surah Al-Ahzab : ayat 72)

`Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat tidak berterimakasih.
( Surah Ibrahim : ayat 34)

`Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu kembali (pada hari kebangkitan). Sungguh, manusia itu sangat kufur nikmat.’
( Surah Al-Hajj : ayat 66)
`Dan manusia (seringkali) berdoa untuk kejahatan sebagaimana (biasanya) dia berdoa untuk kebaikan.  Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa.’
( Surah Al-Isra’: ayat 11)


Apabila kita menyelusuri gambaran sifat-sifat manusia yang dinyatakan Allah SWT di dalam Al-Quranul karim, kita sudah boleh membuat kesimpulan sendiri mengenai fitrah manusia ini. Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof Dr Hamka, penjelasan mengenai sifat zalim dan bodohnya manusia dalam ayat 72, Surah Al-Ahzab berkaitan dengan amanah Allah SWT – di mana manusia amatlah zalim apabila mensia-siakan amanat Allah SWT dan sangatlah bodoh kerana mereka tidak tahu harga diri dan kemuliaan diangkat menjadi hamba Allah, sehingga ada yang sanggup pula mempersekutukan Allah dengan sembahan yang lain! Dalam tafsiran ayat 34, Surah Ibrahim pula, Prof Dr Hamka menekankan manusia sekali lagi bersifat zalim kerana menganiaya dirinya sendiri dan menunjukkan akhlak yang buruk dengan tidak berterimakasih kepada Allah SWT yang telah mengurniakan begitu banyak nikmat yang tidak mampu dibilang dan dihitung. Dalam konteks yang sama, tafsiran ayat 66, Surah Al-Hajj menjelaskan sifat manusia yang kufur nikmat atau tidak mengendahkan begitu banyak nikmat pemberian Allah menyebabkan kehidupan manusia menjadi sesat dan tidak mempunyai arah tujuan.

Izinkan penulis memperturunkan huraian Tafsir Al-Azhar mengenai sifat manusia yang `tergesa-gesa’ sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ke 11, Surah Al-Hajj :

` Adapun sifat tergesa-gesa ialah mahu terburu-buru, mahu cepat sahaja, Ini adalah sifat asal manusia. Jika ditimpa kejahatan, kesusahan, dia amat gelisah dan tidak dapat mengendalikan diri. Dia mengeluh dan menyumpah, kadangkala kerana merasakan bencana terlalu berat, dia minta mati sahaja. Demikian pula bila dia mendapat kebaikan yang menggembirakan, dia memuji-muji diri mendabik dada. Lupa dia bahawa hidup itu adalah pergantian hujan dan panas, suka dan duka, senang dan susah.’
( Prof Dr Hamka :  Tafsir Al-Azhar)

Seterusnya Allah SWT memperjelaskan lagi sifat dan perangai manusia ini dalam Surah Fussilat, ayat 49 – 51 yang mafhumnya :

`Manusia itu tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilanglah harapannya. (49) Dan jika Kami berikan kepadanya suatu rahmat dari Kami setelah ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata :”Ini adalah hakku, dan aku tidak yakin bahawa hari kiamat itu bakal terjadi. Dan jika aku dikembalikan kepada Tuhanku sekalipun, sesungguhnya aku hanya akan beroleh kebaikan di sisi-Nya.” Maka sungguh, akan Kami beritahukan kepada orang kafir tentang apa yang mereka telah kerjakan dan sungguh akan Kami timpakan kepada mereka azab yang berat.(50) Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka, maka dia banyak berdoa.(51) ’

Nyata sekali sifat manusia yang sememangnya mudah berputus asa dalam kesusahan dan kesukaran namun begitu mudah juga lupa daratan dan tak sedar diuntung apabila dianugerahkan kesejahteraan dan kebaikan. Bukan itu sahaja, manusia ini juga tertipu dengan tanggapan bahawa kebaikan yang sedang dinikmatinya adalah hak mutlaknya yang tidak akan dipertanggungjawabkan Allah ke atasnya serta tidak mengimani bahawa adanya hari pembalasan. Malahan dia juga amat yakin akan beroleh jaminan kebaikan di akhirat nanti. Sungguh manusia ini tidak sedar diri dan sombong bongkak!

Untuk mengecap kebahagiaan yang hakiki, jelas sekali perlunya manusia menguruskan   sifat-sifat negatif  yang telah dihuraikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quranul karim. Hampir mustahil untuk manusia mencapai kebahagiaan yang diidam-idamkan sekiranya semua sifat tersebut tidak disantuni sewajarnya. Selagi mana manusia tidak menemui jalan, wasilah serta formula yang tepat untuk  mengharungi kehidupan di dunia ini, dia tidak akan berpeluang mengecapi kebahagiaan di dunia, apatah lagi di hari akhirat nanti.

Sebenarnya Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap makhluk-Nya telah menggariskan formula utama untuk mengatasi segala kekurangan dan kelemahan manusia. Allah menjanjikan kebahagiaan hakiki dan kejayaan agung ( fauzun adzim) dan nyata ( faudzun mubin) melalui firman-Nya di dalam Al-Quran yang mafhumnya :

`Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamulah yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.’
( Surah Ali Imran:  ayat 139)

`Dan barangsiapa mengerjakan kebajikan sedangkan dia beriman, maka dia tidak khuatir akan perlakuan zalim ( terhadapnya) dan tidak (pula khuatir) akan pengurangan haknya.’
( Surah Taha : ayat 112)

`Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Ingatlah) pada hari (ketika) Allah mengumpulkan kamu pada hari berhimpun, itulah hari pengungkapan kesalalahan-kesalahan. Dan barang siapa beriman kepada Allah dan mengerjakan kebajikan nescaya Allah akan menghapuskan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.’
( Surah At-Taghabun : ayat 8 – 9)

`Maka adapun orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka Tuhan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya( syurga). Demikianlah kemenangan yang nyata.’
( Surah Al – Jatsiyyah : ayat 30)   

Apakah kunci kebahagiaan yang hakiki? Allah SWT telah memberikan jawapan-Nya melalui ayat-ayat Al-Quran yang diperturunkan di atas. Iman adalah asas utama  yang mampu membentuk kehidupan yang bahagia di dunia ini, juga di akhirat. Beriman kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dengan menuruti apa yg diperintah-Nya serta berusaha menjauhi segala yang terlarang adalah formula utama manusia mampu mewujudkan rasa bahagia, aman sentosa di dalam dirinya sendiri. Tidak perlu lagi mengejar, memburu dan menunggu kehadiran `bahagia’ yang sebenarnya boleh dijana dari dalam diri kita sendiri. Syarat utama, membuat pilihan secara sedar untuk beriman kepada Allah SWT tanpa ragu-ragu dan syak wasangka. Sebaliknya, jika seseorang memilih untuk tidak beriman, mengingkari Allah dalam keadaan sesat, bersedialah dia untuk mengharungi kehidupan yang derita, sempit dan sukar di dunia dan akhirat. Mafhum firman Allah SWT :

`Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.’
(Surah Taha : ayat 124)

`…Dan barangsiapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seolah-olah  dia (sedang)  mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang yang tidak beriman.’
( Surah Al-Anám : ayat 125)

Sesungguhnya, Allah SWT telah menyediakan lorong khas yang mampu digunakan oleh semua manusia tanpa mengira pangkat, keturunan, etnik dan usia bagi mengecapi kebahagiaan yang hakiki. Manusia hanya perlu memilih iman dan kebenaran untuk menempa kehidupan yang benar-benar bahagia, sekalipun dia mungkin punya harta yang sedikit dan tinggal di pondok usang. Dengan iman, dia mampu membuat pilihan untuk terus menerus bahagia, sama ada semasa kesenangan meliputi dirinya ataupun tatkala ujian Allah datang melanda. Amat benarlah hadith sahih Rasulullah SAW yang mafhumnya :

` Ajaib dan menakjubkan urusan hidup orang yang beriman! Tiap perkara yang berlaku semuanya baik belaka. Dan tidaklah ianya begitu melainkan kerana dia beriman. Apabila dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik buatnya. Dan bila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itupun jua baik buatnya.’

Kehadiran iman di hati adalah jaminan seseorang meraih kebahagiaan yang hakiki. Tanpa nur iman, perjalanan hidup manusia menjadi derita, meraba-raba dalam gelap gelita tanpa obor yang menerangi. Beriman dan mengakui bahawa diri ini sebenarnya milik Allah SWT adalah langkah pertama menuju bahagia yang hakiki di dunia dan akhirat. Semoga kita semua merasai perasaan bahagia yang diperkatakan dalam lirik korus lagu terbaru Maher Zain, Ku Milik-Mu :

`Kini kutahu rasanya, Hidup dalam cahaya kasih-Mu,
Kini kutahu rasanya, Menemukan damai di jiwa,
Seandainya semua tahu, Indahnya mengabdi pada-Mu,
Seandainya semua tahu, Kasih-Mu lepaskan belenggu,
Bebaskanku, kuatkanku…’ 

Loves,
Dr. Har

Read more...

Haze : Reminder from the Al-Quran

>> Sunday, June 23, 2013

Loves,
Dr. Har

Read more...

Twins of Faith 2011 : Women in The Eyes of God





Loves,
Dr. Har

Read more...

Perutusan Hari Ibu 2013 : Warkah seorang Ummi

>> Sunday, May 12, 2013

Khusus buat Puan Acha Kusain, bonda kepada Allahyarham anakanda Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor / Cinang (mangsa rogol di Bukit Tinggi Klang)


Assalamualaikum wr wb

Dengan penuh rasa sayu dan hiba, saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah kepada Puan Acha, Encik Mohd Noor Mustafa dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta Nur Amyliana Shuhada atau Cinang baru-baru ini.

Pemergian yang tidak disangka-sangka itu tentunya meninggalkan kesan yang amat mendalam dan pedih, yang sukar diubati. Hanya Allah SWT sahaja tempat kita semua mengadu dan bersandar, memohon kekuatan agar luka di hati dapat ditampung oleh keimanan yang mantap dan jitu.

Puan Acha,

Tidak ada apa yang mampu saya sumbangkan untuk mengubat pilu kehilangan anakanda tercinta, Cinang selain doa kudus seorang ibu yang dipanjatkan kepada Allah SWT, agar roh Cinang damai dan tenteram di sisi Allah SWT, sebaik-baik Penjaga dan Pelindungnya.

Sebagai seorang ibu yang mempunyai seorang puteri manja yang sama usia dengan Cinang dan juga pernah diuji Allah SWT dengan kehilangan cahaya mata yang pulang dahulu ke rahmatullah, saya benar-benar terkesan dengan berita menyayatkan hati ini.

Semoga tragedi yang menimpa Cinang tidak akan berulang lagi. 

Jenayah keganasan seksual adalah petanda sebuah masyarakat yang semakin luntur nilai kemanusiaannya. Apatah lagi, mangsa yang terbabit adalah  golongan kanak-kanak yang masih dalam tanggungan jagaan dan amanah kita semua.

Siapakah pemangsa jenayah seksual yang tidak berperikemanusiaan ini? Mengapa dan kenapakah mereka tergamak berkelakuan sedemikian kejam? Hilangkah kewarasan dan pertimbangan, ke manakah belas kasihan dan keprihatinan? 

Siapakah pula ibu yang melahirkan mereka?

Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga setiap ibu di Malaysia berusaha segigih-gigihnya mendidik setiap anak yang dilahirkannya untuk menjadi insan berguna yang bermanfaat kepada dirinya sendiri juga masyarakat, negara dan agama.

Doa saya juga agar tiada lagi ibu yang perlu melalui kepedihan yang sedang dilalui oleh Puan Acha sekeluarga. Juga tiada lagi ibu yang perlu menitiskan air mata ketika anaknya didapati bersalah oleh mahkamah sebagai pelaku jenayah seksual yang kejam.

Kepada semua kerajaan baru yang dibentuk selepas PRU13,
Saya merayu agar mereka memberikan keutamaan yang tinggi kepada aspek sosial masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak - agar kami merasa selamat dan sentosa berada di rumah, di tempat kerja dan di khalayak umum. 

Kotakan segala akujanji dan  manifesto yang telah ditaburkan semasa menagih undi kami. Kerana sesungguhnya, kami memerhati.....

Yang benar,
Ummi
Dr. Har 

Read more...

Kemahiran Menangani Kepelbagaian : BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU

>> Thursday, May 9, 2013







Pergeseran dan perselisihan pendapat sering berlaku dalam interaksi seharian manusia.Dengan akal fikiran kritis yang dikurniakan Allah SWT, manusia tidak mungkin mahu jadi Pak Turut sepanjang masa. Sudah menjadi adat dan fitrah, manusia mahu pandangannya didengari dan dihormati, pendapat dan cadangan mereka mendapat pertimbangan sewajarnya oleh orang lain.Perasaan mudah merasa kecewa sekiranya idea ditolak. Hati menjadi pedih luka terhiris bila ada bantahan dan bangkangan kepada apa yang di cadangkan.

Dek kerana tidak mahu terluka dan rasa dihina, ramai antara kita memilih untuk menurut sahaja, senang cerita! Sekalipun tidak bersetuju di dalam hati, wajah pura-pura menyimpulkan senyuman, kepala diangguk-angguk mengiyakan tanda setuju. Namun dihati, terpendam dendam kesumat yang membusuk. Kononnya mahu menjaga keharmonian dan tidak mahu menimbulkan kekusutan, tetapi akhirnya, perasaan negatif yang dipendamkan hanya akan mencetuskan tindakan negatif pula pada satu ketikakelak. Memilih untuk mendiamkan diri dari meluahkan ketidakpuasan hati ,bimbang nanti pihak yang satu lagi akan berkecil hati dengan tindakan kitamenzahirkan rasa, menandakan hubungan silaturrahim yang belum mantap tahap ukhuwwahnya. Menghindari konflik  secara inidikatakan  manifestasi sebuah hubungan komunikasi yang kurang sejahtera atau dysfunctional.

Alangkahbaiknya sekiranya kita berani menyuarakan pandangan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Sekiranya ada tentangan dari pihak yang kurang bersetuju, berikanlah laluan sepenuhnya untuk mereka menyatakan pandangan, kerisauan dan kekaburan yang mencetuskan pilihan mereka untuk tidak bersetuju dengan cadangan kita itu.Kemudian, dengan penuh keikhlasan, perjelaskan mana yang masih belum berapa jelas. Sekiranya masih tidak bersetuju, inilah saatnya kita perlu mengambilsikap berlapang dada dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Tiada gunanya kita memaksa orang lain menerima pakai segala cadangan dan kehendak kita,seolah-olah pandangan kita sahajalah yang benar dan patut dilaksanakan. Masakan mungkin seorang manusia biasa yang penuh kelemahan ini mendabik dada,mengatakan hanya dia seorang yang serba arif, paling tahu dan mampu dalam segala urusan. Apa yang menyedihkan, perpecahan dan keretakan semakin ketara,sehingga wujud beberapa kumpulan yang saling bercakaran. Komuniti terbahagi kepada beberapa kem – berlaku tarik-menarik antara ahli masyarakat untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukan. Setiap ahli mesti mengisytiharkan pihak mana yang dianggotainya – jika tidak, maka terasinglah kehidupan sekeluarga.Slogan yang didokong - `Kalau anda tidak bersama kami, anda tentunya bersama mereka  (pihak lawan)!’

Meraikan pandangan dan menghargai cadangan orang lain, adalah satu ciri penting yangmesti ada dalam diri pemimpin yang inovatif dan berdaya saing. Sifat merendah diri ini sebenarnya tercetus dari ketinggian akhlak yang kudus dan keikhlasanhati yang jernih. Hati yang bersih tidak mudah dihinggapi penyakit hasad dengki, riya dan takabbur. Jiwa yang besar tidak mudah disempitkan oleh rasa takut kehilangan pengaruh. Malahan untuk mendidik hati supaya mampu  , kita haruslah mempunyai sikap yang betul terhadap segala teguran dan kritikan yang ditujukan kepada kita. Anggaplah itu sebagai satu   dan tarbiah yang datangnya dari Allah SWT, yang sentiasa memimpin dan membimbing insan terpilih dengan hidayah dan taufik-Nya.

Kembali kepada fitrah Islam yang menitikberatkan kesederhanaan, kesejahteraan, keamanandan keharmonian ini, sememangnya akan menimbulkan perasaan lapang dada dantenang fikiran. Dalam konteks yang sama, rasa sempit dada, resah dan gelisahberpunca dari keengkaran manusia untuk mengikuti jalan yang telah digariskanoleh Allah SWT. Sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah  Al An’aam, ayat ke 125 yang mafhumnya :

"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikankepadanya hidayah (petunjuk), nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (menerima)Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allahmenjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit.Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman."

Melatih diriuntuk sentiasa berlapang dada adalah mujahadah yang perlu diutamakan, demi sebuah kehidupan bermasyarakat yang aman damai dan tenteram. Mendidik diri untuk meraikan pandangan orang lain dan dalam masa yang sama perlu berani pula untuk menegakkan pendapat sendiri , bukanlah sesuatu kemahiran yang boleh diraih sewenang-wenangnya. Setelah puas berbincang dan lawas mengutarakan hujah serta pandangan, sekiranya masih belum ada titik pertemuan, setuju untuk tidak bersetuju dan menghormati pandangan pihak lain adalah langkah paling wajar yang perlu diambil. Selepas sesi perdebatan itu, kedua pihak seharusnya meneruskan persahabatan seperti biasa, bukannya beredar dengan dendam kesumat permusuhan.Tindakan ini menunjukkan tahap kematangan dan profesionalisme yang tinggi.

Tidak juga dinafikan,ada kalanya individu yang mempunyai buah fikiran yang berbeza itu gagal menyampaikan pandangannya dengan cara berhikmah dan bersopan-santun, khususnyajika yang dibangkang itu pandangan seseorang yang jauh lebih berumur da nberpengalaman. Suasana menjadi tegang, apabila perbincangan menjadi hangat dan si anak muda tidak berhenti-henti menggasak dengan idea baru dan inovatif,memandang rendah kepada gaya dan pendekatan yang diambil selama ini. Lebih parah, sekiranya si anak muda mengambil tindakan mendedahkan kelemahan dan kesilapan di tengah khalayak umum, sehingga jatuh air muka pihak yang lebihveteran dan senior. Masih perlukah berlapang dada dalam situasi ini? Masih adakah yang mampu untuk mengambil sikap berlapang bila berhadapan dengan kerenah ini?

Dalam apa jua suasana, akhlak pendakwah tidak boleh lari dari apa yang diperintahkan olehAllah SWT di dalam Al-Quran dan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.Perhatikan mafhum surah An-Nahl : ayat 125 :


"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mudengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yangbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yangtersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yangmendapat petunjuk." 

Perlulah ada bimbingan dan tunjuk ajar dari golongan yang lebih senior untuk memperbetulkan pendekatan si anak muda yang bersemangat dan pantang dicabar ini. Dengan kebijaksanaan yang dikongsi, bersama pengalaman yang menggunung,  hubungan sejahtera mampu dijalin dan dipereratkan. Untuk mewujudkan suasana harmoni, kedua belah pihak – sama ada yang dianggap senior atau òtai' yang lebih berpengalaman atau `otai’dan juga golongan mudayang lebih bersemangat – perlulah mempunyai sifat berlapang dada. Sifat terpuji ini terhasil dari keyakinan bahawa kepelbagaian pandangan dan pendekatan perlu dicanai dan digabungkan untuk menghasilkan idea yang jauh lebih menyerlah dan inovatif. Kebijaksaan orang tua digabungkan dengan kecergasan orang muda - hasilnya tentu menjadi!

Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mendidik diri agar mampu berlapang dada sepanjang masa dan ketika.  Amin


Loves,
Dr. Har

Read more...

Menangani Kepelbagaian Anutan Agama

>> Wednesday, May 8, 2013




( Artikel ini diterbitkan dalam ruangan Fitrah, Majalah SOLUSI)

Dalam isu yang lalu, penulis menyentuh perihal kepentingan mempunyai kemahiran menangani kepelbagaian dalam sebuah komuniti yang heterogenous dan majmuk. Pegangan agama dan anutan kepercayaan adalah satu aspek kepelbagaian yang mesti ditangani dengan sebaik mungkin, agar tidak tercetus persengketaan dan permusuhan yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan kehidupan bermasyarakat.

Namun, sejarah dunia menunjukkan betapa banyak peperangan dan rusuhan yang tercetus atas nama agama dan perjuangan mempertahankan kesuciannya. Sekalipun sama warna kulit dan pertuturan bicara dalam kelompok manusia yang tinggal berjiran dalam lokasi geografi yang sama, namun atas dasar kelainan kepercayaan dan anutan agama, telah banyak nyawa yang melayang dan darah yang tumpah – meninggalkan kesan parut luka yang berpanjangan. Tidak hairan sekiranya ramai pencinta kedamaian yang menuntut agar agama tidak dijadikan pemisah dan pencetus konflik. Timbullah aliran pemikiran yang menuntut agar agama diketepikan dari kehidupan manusia. Dalam lirik lagu Imagine dendangan kugiran terkenal tahun 60an,`The Beatles’ – menyeru manusia berimaginasi alangkah damainya kehidupan di dunia ini sekiranya tiada factor-faktor pemisah seperti sempadan geografi negara dan juga agama :

Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...

Kepelbagaian agama ditangani dengan tiga pendekatan yang sama, sebagaimana yang diterangkan dalam artikel yang lalu. Pendekatan tersebut berdasarkan tanggapan sama ada kepelbagaian tersebut adalah sesuatu liabiliti yang mesti ditolak dan diperangi, keadaan yang diterima demi keharmonian bersama atau kekuatan yang mesti diraikan.

Ketaksuban menonjolkan identiti dan citra beragama membawa sesuatu kelompok agama yang merasakan dan menganggap diri mereka lebih suci, mulia dan terpuji di sisi Tuhan, jika dibandingkan dengan kelompok agama yang lain. Sikap `exclusivism’ ini menebal dan menjadi penghalang untuk sebarang usaha integrasi dengan penganut agama yang lain. Malahan kelompok ini tidak teragak-agak untuk bertindak `menghalalkan’ darah dan nyawa golongan lain untuk dibunuh demi menjaga kepentingan  dan kesucian agama mereka. Peristiwa tragedi berdarah Kosovo dan Ambon-Maluku menjadi contoh yang masih segar di ingatan generasi manusia – bagaimana kepelbagaian agama menjadi pencetus perang saudara yang kejam, ganas dan bermaharajalela. Regim kejam Zionis Israel sekian lamanya, menganggap mereka manusia suci, sedangkan golongan bukan Yahudi yang lain hanyalah sekadar `goyim’atau manusia lembu ( human cattle)!

Terdapat satu lagi kelompok agama yang bersifat lebih sederhana, yang dianggap inklusivis (inclusivism). Sikap toleransi dan mesra, tiada kekok ataupun canggung, disemai dan dipraktikkan di antara penganut agama berbeza, yang tinggal bersama dalam satu komuniti. Demi untuk menjaga keharmonian, setiap kelompok agama berhati-hati menjaga batasan serta sensitiviti. Namun kebiasaannya, setiap kelompok agama akan tetap merasakan agama merekalah yang paling tinggi dan berada di atas landasan kebenaran. Tidak mustahil keharmonian ini akan tergugat sekiranya ada individu atau kelompok yang bertindak mencemuh, menghina atau memperkecilkan kelompok yang lain. Tindakan tersebut akan menghasilkan tindakbalas negative dari pihak yang diperkecilkan, dan akhirnya boleh juga membawa kepada ketegangan, permusuhan dan persengketaan.

Pendekatan kelompok ketiga lebih menjurus kepada `meraikan’ kepelbagaian agama. Muncullah pendekatan `pluralistic’ yang boleh diringkaskan begini : wujudnya satu Tuhan, namun pelbagai jalan menuju kepada-Nya. Kelompok in menganggap beberapa jalan yang dikenali sebagai agama lebih memperjelaskan sistem kepercayaan yang mempunyai ciri-ciri khusus yang perlu diamalkan oleh penganut agama tersebut untuk sampai kepada kebenaran ketuhanan. Pendekatan ini dijulang sebagai satu-satunya cara untuk menggapai keamanan dan kedamaian di dunia yang sentiasa bergolak ini. Setiap kelompok agama dilarang menonjolkan kehebatan dan kelebihan agama serta menzahirkan syiar agama masing-masing sebaliknya harus turut sama meraikan hari kebesaran dan perayaan agama kelompok lain untuk menunjukkan semangat setiakawan dan muhibbah. Akibatnya, berlaku satu proses `neutralisasi’ terhadap nilai beragama, sehingga mendorong manusia tidak lagi berusaha mengekalkan identiti agamanya, bimbang dia dianggap seorang fanatik dan ektremis oleh rakan-rakannya.

Pemikiran pluralitik ini semakin menular di kalangan generasi muda hari ini, demi satu misi perkongsian hidup tanpa sengketa dan perbalahan. Kepercayaan agama dianggap satu pilihan yang menjadi hak asasi individu, yang tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain. Ianya juga menjadi slogan popular yang dicanangkan oleh pemimpin dunia sebagai satu kaedah penyatuan dan perpaduan masyarakat majmuk. Perkahwinan campur  antara agama menjadi manifestasi kepada pegangan pluralistik ini. Akibatnya, terhakislah keyakinan dan keimanan, kecintaan dan keprihatinan serta identiti agama seseorang itu.

Bagaimana Islam mengajar umatnya berhadapan dengan kepelbagaian agama ini? Islam sebagai cara hidup yang syumul menggariskan dengan terperinci pendekatan yang mesti diambil oleh umat Islam, agar tidak tergadai iman dan citra beragama yang menjadi identiti selama ini. Dalam masa yang sama, Islam tidak mendorong perpecahan dan perbalahan atas nama agama, melainkan terjadinya ugutan dan usaha jelas bermusuhan yang menggugat keselamatan nyawa dan hartabenda.

Islam menggariskan pendekatan ekslusif tanpa kompromi dalam aspek aqidah dan kepercayaan. Al –Quranul karim menekankan perlunya ketegasan menzahirkan keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap keesaan Allah SWT. Perhatikan mafhum Surah Al-Kafirun menjadi asas kepada ketegasan ini :
Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku".   

Ketegasan menzahirkan aqidah yang sohih  inilah yang mesti dipegang oleh umat Islam apabila berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat Islam tidak harus takut dan ragu-ragu untuk menyatakan ketegasan ini semata-mata untuk menjaga hati kelompok agama yang lain. Dengan akhlak yang baik dan pendekatan yang berhikmah, umat Islam mesti menyatakan pendirian tegas mereka bila berhadapan dengan persoalan mengenai kepelbagaian agama. Kejelasan fikrah terhadap aqidah yang satu ini akan menghasilkan individu dan keluarga Muslim yang mantap jati diri dan citranya, tidak kabur dan terumbang-ambing.

Namun dalam aspek yang lain, khususnya dalam hubungan sesama manusia, Islam mengambil pendekatan yang amat inklusif dan meraikan kepelbagaian yang wujud, demi untuk menghasilkan suasana perpaduan yang aman damai. Islam menggalakkan sikap hormat menghormati dan rasa kasih sayang untuk disemai dengan subur di kalangan kelompok yang berlainan agama. Rasulullah SAW telah banyak menunjukkan contoh teladan yang memberi pedoman bagaimana umat Islam harus berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat Islam dilarang mencemuh dan menghina sembahan serta ritual agama yang lain, kerana dibimbangi tindakan sebegitu akan mencetuskan reaksi balas yang negatif, seterusnya membawa kepada persengketaan dan permusuhan yang berpanjangan. Perhatikan mafhum ayat 108, Surah Al- Anáam :

Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Betapa dunia hari ini perlu kepada kaedah pendekatan yang ditonjolkan oleh Islam ini, demi menjamin kesejahteraan dan perpaduan bersama.


Loves,
Dr. Har

Read more...

A Message to all Malaysians




UKM Interfaith Discussion (IFD) 2012 - Theme : Unity in Diversity
Forum : Concepts of life & death  - what does your religion say?

Building bridges, not walls!
I trust my non-Malay, non-Muslim fellow Malaysians. And I am not afraid of them.
In fact, they occupy a special place in my loving heart....
Likewise, they can trust me and do not have to be afraid of me!
And I am certain, I have a special place in their loving hearts, too!

Loves,
Dr. Har

Read more...

Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian ( Appreciating & Celebrating DIVERSITY)




Artikel ruangan Fitrah kali ini membawa tema yang begitu hampir dengan kehidupan kita sebagai manusia yang menghuni bumi Allah SWT ini buat sementara waktu. Elok benar kiranya kita menyingkap aspek kepelbagaian atau diversity yang berada di sekeliling kita. Mengapa Allah SWT menciptakan makhluk-Nya dengan segala kepelbagaian – baik dari jenis, rupa, bentuk, saiz, warna, bunyi dan bahasa pertuturan serta baka keturunan? Jawapan kepada persoalan tersebut diperolehi dari beberapa ayat Al-Quranul karim seperti yang diperturunkan di bawah :

Mafhum ayat 17, Surah An-Nahl :
Dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berbagai jenis dan macam warnanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.

Mafhum ayat 22, Surah Ar-Ruum :
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.

Mafhum ayat 13 Surah Al-Hujuraat :
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jelas sekali, tujuan utama Allah SWT menciptakan makhluk ini dengan segala kepelbagaian semata-mata untuk menjadi tanda nyata kebesaran dan keagungan-Nya. Dengan kepelbagaian tersebut, Allah SWT mewarnakan kehidupan kita dengan penuh seri. Manusia perlu mengambil kesempatan saling berkenalan dan beramah mesra, sekalipun datang dari suku kaum dan bangsa yang berbeza.

Allah SWT dengan penuh kekuasaan mampu sekali menciptakan kelompok manusia yang satu – seia dan sekata. Namun, Allah menjelaskan kepelbagaian dan `complexity’ yang ada bertujuan menguji keupayaan manusia tunduk patuh kepada perintah-Nya, sebagaimana yang dinyatakan dalam mafhum ayat berikut :

Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia menjadikan kamu satu umat, akan tetapi Allah membiarkan sesat sesiapa yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu kerjakan.
Surah An-Nahl : ayat 93


Secara amnya, manusia menangani kepelbagaian dengan tiga cara utama. 

Pertama – bertindak menolak dan membenci apa yang nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza dengannya. Tanggapan tersebut berpunca dari perasaan takabbur, bongkak dan sombong yang bersarang di dalam hati. Perasaan tersebut sentiasa menimbulkan kecurigaan, sangkaan buruk dan sifat permusuhan yang boleh berkesudahan dengan persengketaan yang berlarutan. 

Sementara cara kedua – menerima kepelbagaian sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza. Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan. Masing-masing sentiasa berhati-hati, bimbang menyinggung dan menyakitkan perasaan pihak yang berlainan. Silap perhitungan, silap haribulan – sengketa boleh tercetus bila-bila masa sekiranya terdapat pihak yang merasa tercabar dan dicabar kewibawaannya. 

Apa yang diidam-idamkan, adalah cara ketiga menangani kepelbagaian, iaitu dengan meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu kemajuan bersama.

Dalam sebuah negara yang menaungi rakyat pelbagai bangsa, keturunan, agama dan budaya seperti Malaysia, tidak dapat dinafikan kepentingan kesefahaman, sikap tolak ansur, toleransi dan hormat menjadi asas batu pelantar tonggak keamanan dan keharmonian bersama. Rakyat pelbagai kaum tidak boleh dibiarkan hidup dalam polarisasi, namun tidak harus juga digabungkan dan dicampuradukkan sehingga melunturkan serta mencairkan citra, identiti dan tradisi warisan yag dipusakai turun temurun. Keseimbangan tersebut amatlah kritikal dan perlu diusahakan menjadi agenda bersama yang utama di setiap peringkat masyarakat. Kepelbagaian ini meningkatkan cabaran dan kompleksiti yang mesti dihadapi oleh anggota masyarakatnya, dibandingkan dengan sebuah komuniti yang begitu homogenous – sebangsa, seagama, sebudaya.

Kemahiran menangani kepelbagaian (managing diversity) perlu dikuasai sepenuhnya untuk memastikan kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya suatu bebanan dan liabiliti! Usaha menyambung dan menjalin hubungan (bridging, engagement) di antara kelompok yang begitu banyak perbezaan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten dari semua pihak. Perasaan takabbur, sombong dan meninggi diri yang menjadi penghalang besar kepada sebarang usaha perpaduan mestilah segera diganti dengan perasaan hormat-menghormati. Menzahirkan tanggapan `aku lebih tinggi dan mulia dari kamu ( I am holier than thou) akan menatijahkan perkataan, perbuatan dan sikap berbau diskriminasi, prejudis dan bias terhadap pihak yang dipandang lebih rendah dan hina. Penindasan, ketidakadilan dan sengketa yang berpanjangan akan mewarnai kehidupan masyarakat. Sedangkan manusia ini sebenarnya, mempunyai lebih banyak persamaan yang dikongsi, sementara perbezaan adalah jauh lebih sedikit.

Antara usaha murni menangani kepelbagaian di kalangan masyarakat Malaysia yang sudah dimulakan adalah penganjuran sesi dialog, perbincangan dan forum inter-agama (interfaith). Penulis sendiri berpeluang dijemput beberapa kali untuk menjadi panelis dalam sesi perbincangan silang agama ( interfaith discussions) yang dianjurkan oleh banyak organisasi termasuk NGO dan beberapa persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi. Tema dan tajuk perbincangan yang dikupas banyak menjurus kepada isu sepunya yang dikongsi bersama – contohnya tema berkaitan institusi kekeluargaan, amalan perubatan, isu kontroversi  berkaitan kemajuan sains yang membabitkan nyawa, nasab keturunan. Amatlah penting untuk mempunyai sikap yang betul sebelum seorang individu melibatkan diri secara aktif di dalam perbincangan interfaith. Dia tidak sesekali boleh menggunakan ruang interfaith tersebut untuk mempromosi agamanya dengan cara merendah-rendahkan pula agama yang lain yang diwakili dalam sesi tersebut. Tujuan utama adalah untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak seagama untuk memahami apa, kenapa dan bagaimana agama yang dianuti mencorak segala aspek kehidupan masing-masing. Di akhir sesi interfaith, seharusnya timbul rasa hubungan kemesraan dan hormat-menghormati antara satu sama lain, yang akan membuahkan keharmonian yang benar-benar mantap. Dalám konteks ini, Allah SWT telah menggariskan pendirian `lakum deenu kum wali yadin’sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah Al-Kafiruun. Wajarlah bagi umat Islam menjadi pelopor kepada engagement dan hubungan dua hala dengan kelompok non-Muslim dan bukannya bertindak kedekut – menyimpan keindahan dan kerahmatan Islam di dalam poket baju masing-masing serta tidak dikongsi bersama!


Loves,
Dr. Har

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP