MEMASTIKAN KEHAMILAN & PROSES KELAHIRAN LEBIH SELAMAT – INISIATIF KEIBUAN SELAMAT
>> Monday, December 30, 2013
MAKING
PREGNANCY SAFER – SAFE MOTHERHOOD INITIATIVES
Bahagian I : Dari mana kita bermula?
Bonda saya Hjh Siti Ramlah Anuar selamat melahirkan kelapan-lapan anaknya di rumah dengan izin Allah SWT. Bermula dari anak sulong pada tahun 1952 hinggalah kepada anak bongsu pada tahun 1976. Saya anak yang keenam (1966) – yang pertama lahir di Sungai Besar Selangor selepas almarhum ayahanda berpindah ke situ dari Kelang pada tahun 1963. Bidan kampung yang menyambut saya bernama Makcik Ruminah. Dia jugalah yang menyambut kelahiran dua adik saya selepas itu. Saya ada di rumah ketika pagi Ahad 10 Ramadhan semasa Makcik Ruminah membantu bonda melahirkan adik bongsu saya pada tahun 1976. Amat mencemaskan suasana pagi itu – ayahanda tak putus-putus solat hajat mendoakan kesejahteraan bonda & adik yang bakal lahir. Tepat jam 10.20 pagi, terdengar suara teriakan tangisan pertama bayi comel lelaki memecah keheningan pagi yang berkah itu. Alhamdulillah, semuanya selamat tanpa sebarang komplikasi.
Disebalik kegembiraan menyambut kehadiran adik comel saya itu, terdetik di dalam hati kecil saya sebagai seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ketika itu, saya berazam bila saya melahirkan anak nanti, saya mahu berada di hospital! Entah mengapa saya menanam keazaman tersebut……mungkin kerana saya memang mahu jadi seorang doktor semenjak berumur 5 tahun lagi! Ketika itu, saya tidak langsung menyedari bahawa kadar kematian ibu hamil dan melahirkan (Maternal Mortality Ratio –MMR) di Malaysia sedang mengalami tren menurun yang signifikan – 170 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1966 mencecah kepada 70 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1976, sepuluh tahun kemudian.
Apabila giliran saya pula menjadi seorang ibu, kadar kematian ibu (MMR) di Malaysia sudah mencecah statistik yang rendah dan amat membanggakan . Saya melahirkan keempat-empat cahayamata saya di hospital – Syifa Hana di Hospital Teluk Intan (1993), almarhum Sofwan Hanif (1995) & Anwar Syamil (1997) lahir di Hospital Bersalin KL dan Deena Sofiyya (2002) lahir di PPUKM. Tentu tidak langsung menghairankan memandangkan saya sendiri seorang doktor yang mengkhusus dalam kepakaran Perbidanan & Sakit Puan.
Kadar kematian ibu di Malaysia ketika tempoh masa tersebut berada dalam lingkungan 30 – 40 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup, satu indikator kejayaan usaha Malaysia terlibat sama dalam satu inisiatif bersepadu di peringkat antarabangsa yang dinamakan Safe Motherhood Initiatives yang diperkenalkan pada tahun 1987. Inisiatif ini menggariskan empat tunggak utama untuk menjadikan kehamilan dan kelahiran lebih selamat :
- Perancangan Keluarga ( setiap kehamilan dirancang, direncana dan dikehendaki)
- Jagaan antenatal ( pemeriksaan kesihatan berkala semasa kehamilan)
- Kelahiran selamat dan bersih ( proses kelahiran dipantau dengan partogram, pengendalian aktif bagi tahap ketiga kelahiran serta persekitaran yang hygenic)
- Jagaan obstetrik (kebidanan) yang asas ( pengendalian oleh pasukan yang terlatih menghadapi komplikasi kehamilan dan kelahiran, ubat-ubatan, infrastruktur seperti bekalan elektrik, kenderaan serta hubungan telekomunikasi dan kemudahan kesihatan yang lengkap – dewan bedah untuk pembedahan caesarean, tabung darah untuk bekalan darah yang segera dan unit jagaan bayi baru lahir untuk resusitasi bayi)
Alhamdulillah, hari ini, MMR Malaysia sudah mencecah 27 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup. Kita masih perlu menurunkan MMR kepada kadar yang lebih rendah – sebagaimana yang ditetapkan oleh Sasaran Pembangunan Millennium ( Millennium Developmental Goal – MDG) kelima. Antara kejayaan utama Malaysia menurunkan MMR adalah apabila kelahiran selamat (safe delivery) yang ditakrifkan sebagai kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dapat ditingkatkan dari kurang 55% pada tahun 50an kepada peratusan 98.5% hari ini. Satu lagi faktor kejayaan adalah keutamaan yang diberikan oleh sistem kesihatan di Malaysia kepada kes kematian ibu. Setiap satu kematian ibu mesti disiasat secara mendalam di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat . Laporan lengkap mesti disediakan untuk dibentangkan di peringkat daerah, negeri dan pusat serta dimasukkan ke dalam Confidential Enquiry into Maternal Deaths (CEMD) yang dilaporkan secara bertulis setiap tiga tahun. Tujuan utama adalah untuk mengenalpasti faktor jagaan substandard yang perlu dibaiki di setiap peringkat.
Kejayaan Malaysia menurunkan MMR ke tahap yang rendah menjadi buah mulut dan contoh teladan di peringkat WHO dan dunia. Tun Dr Siti Hasmah dengan kapasitinya sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia ketika itu, sering diundang ke persidangan dunia untuk berkongsi pengalaman Malaysia melaksanakan insiatif ini. Malahan semasa Dr Har belajar di peringkat sarjana muda perubatan, kami sering diingatkan bahawa tahap jagaan kesihatan ibu dan anak (Maternal Child Health - MCH) adalah antara yang terbaik di rantau ini.
Tidak hairanlah sekiranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius dua kes kematian ibu di rumah yang berlaku baru-baru ini. Sebenarnya begitu banyak usaha dan payah jerih yang dikorbankan untuk mencapai tahap kesihatan ibu yang sedia ada hari ini. Mungkin kerana begitu jarang sekali kedengaran wanita hamil hari ini yang berhadapan dengan risiko kematian (walaupun masih tetap ada berlaku pada kadar yang rendah ), masyarakat umum mula merasakan proses kehamilan dan kelahiran sebagai sesuatu yang natural dan biasa-biasa sahaja. Sehingga ramai bakal ibu serta ibu muda yang kurang menyedari betapa proses kehamilan dan kelahiran tidak seharusnya dipandang remeh dan ringan. Alangkah malangnya bila beberapa nyawa ibu harus melayang untuk membangunkan kita dari lena yang panjang (complacency) – untuk kembali meletakkan kehamilan dan kelahiran di tempat keutamaan yang sepatutnya.
Bahagian II : Kejayaan sebuah proses kelahiran
Di hujung suatu pengalaman kehamilan, menunggu satu lagi peristiwa yang amat mendebarkan setiap wanita yang ditakdirkan Allah SWT untuk mengandungkan zuriat keturunannya. Pelbagai soalan yang menerpa ke dalam benak fikirannya. Nampak tenang dan bersahaja di luaran, namun hati dan perasaan di dalam, hanya Allah SWT yang tahu! Tanpa dipinta, rakan sekeliling dan sahabat taulan berkongsi pengalaman masing-masing – ada yang positif, ada yang negatif, ada yang suka ada yang duka. Tempoh sembilan bulan bukan tempoh yang sekejap – cukup lama untuk seorang bakal ibu membuat persediaan fizikal, mental, emosi dan spiritual. Masakan tidak, di hujung kehamilan mungkin ada kehidupan baru yang bermula, namun tidak juga mustahil ada nyawa yang melayang. Seorang Profesor O&G saya pernah mengingatkan – bahawa setiap wanita yang hamil ibarat duduk di atas bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa! Dalam buku teks perbidanan, sering ditekankan mengenai tiga faktor yang bermula dengan huruf `P’ yang akan menentukan kelancaran proses kelahiran ( Three Ps that govern labour) :
- Power ( Kuasa) – merujuk kepada kekerapan dan kekuatan pengecutan atau kontraksi otot rahim. Lebih kuat dan kerap, lebih cepatlah proses kelahiran bayi.
- Passenger ( Penumpang) – saiz dan kedudukan janin akan mempengaruhi proses kelahiran. Janin bersaiz kecil lebih cepat kelahirannya jika dibandingkan dengan janin yang besar (macrosomia). Kedudukan kepala janin yang menunduk lebih mudah dilahirkan dari yang mendongak.
- Passage ( Laluan) – struktur tulang punggung atau pelvis yang menjadi laluan untuk janin keluar dari rahim ibu. Struktur tulang pelvis yang kecil akan menghalang proses kelahiran normal janin, yang akan menyebabkan kelahiran terhalang ( obstructed labour).
Seorang lagi professor saya menambahkan dua lagi faktor penting yang mempengaruhi proses kelahiran – juga bermula dengan huruf `P’.
- 4. Practitioner ( Pengamal) – individu yang mengendalikan dan membantu proses kelahiran. Seorang yang mempunyai pengetahuan, latihan, pengalaman serta kelayakan dalam bidang kebidanan mampu mengendalikan proses kelahiran dengan baik, disamping mengenalpasti komplikasi dan masalah di peringkat awal serta mengambil langkah lanjut yang sewajarnya.
- 5. Psychological preparation (Persediaan psikologi) – ibu yang mempunyai persediaan psikologikal yang baik serta berpengalaman lebih tenang mengawal ketakutan dan yakin menghadapi kesakitan dan proses kelahiran. Pembukaan pintu rahim, teknik pernafasan dan kontraksi otot rahim akan lebih lancar dan terkoordinasi apabila siibu mampu mengawal emosi dan lebih bekerjasama dengan arahan yang diberikan.
Sebagai seorang yang pernah empat kali melalui proses kehamilan dan kelahiran, saya yakin dua faktor tambahan ini amat penting peranannya. Persediaan mental, psikologi dan spiritual perlu dimulakan semenjak dari awal kehamilan lagi, disamping pemeriksaan fizikal yang diadakan setiap bulan. Hubungan dengan Allah SWT yang menjadi tempat penggantungan mutlak amat perlu diperteguhkan dengan meningkatkan amalan ibadah khusus dan sunat, membaca dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran saban hari, memanjatkan doa-doa yang matsur, memperbanyakkan sedekah dan infaq serta sentiasa memuhasabah diri, memperbaiki akhlak dan menguatkan keazaman untuk menjadi ibu yang solehah kepada zuriat yang soleh dan musleh. Sokongan suami yang prihatin dan penyayang begitu kritikal dalam memberi semangat kepada seorang wanita yang sedang berjihad melalui kehamilan dan kelahiran. Begitu jua dokongan dari ibu bapa kandung dan mertua, adik beradik, ipar duai serta rakan sekerja – mampu meningkatkan keyakinan dan keazaman siibu.
Siapa yang akan membantu dan di mana tempat hendak melahirkan bayi juga amatlah penting untuk ditentukan oleh setiap wanita hamil. Setiap ibu hamil mahukan kesudahan yang selamat dan membahagiakan – seorang bayi comel yang sihat walafiat, disamping ibu yang juga sejahtera untuk menyambung peranan keibuannya selepas berhempas pulas bersabung nyawa. Tidak keterlaluan sekiranya mereka mengharapkan layanan yang baik, penuh perikemanusiaan dan belas kasihan semasa detik cemas melahirkan, dari kalangan mereka yang dikenali dan mengenalinya. Malangnya, perkhidmatan di hospital dan klinik hari ini semakin rigid dan kaku. Dengan kecanggihan teknologi yang dikatakan mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, sentuhan dan komunikasi interpersonal antara pesakit dengan pengamal perubatan semakin luntur terhakis. Hari ini, kita berhadapan dengan situasi meruncing, di mana ramai pesakit yang semakin curiga (sceptical) dan kurang yakin dengan setiap tindakan atas nama rawatan dan pengubatan yang diambil oleh doktornya, sementara doktornya pula semakin bimbang dan sentiasa rasa terancam oleh kemungkinan pesakitnya akan mengheretnya ke muka keadilan atas tuduhan kecuaian dan ketidakcekapan (negligence & incompetence).
Tidak menghairan sama sekali apabila hari ini, ramai ibu muda yang baru sekali dua melalui kehamilan memilih pendekatan alternatif yang dirasakan lebih memenuhi keperluannya. Tumbuhlah bagai cendawan selepas hujan – golongan yang membuat promosi mengenai kelahiran semulajadi di rumah (natural home birth), kelahiran dalam air (waterbirth), hypnobirth, kelahiran lotus (lotus birth), gentlebirth dan pendidik kelahiran (childbirth educator or doula). Sememangnya pesakit mempunyai autonomi untuk memilih siapa yang akan membantu proses kelahiran bayinya, juga di mana dia hendak melahirkan. Namun tiada yang lebih penting dan utama dari ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada proses kelahiran yang selamat dan sejahtera. Kita tidak harus menunggu satu lagi kematian ibu yang berlaku di kalangan mereka yang memilih mengambil risiko sendiri melalui proses kelahiran tanpa empat tonggak insiatif keibuan selamat untuk menyedarkan kita agar mengambil langkah penambahbaikan yang drastik, efektif dan komprehensif.
Bahagian III : Bagaimana selepas ini?
Saya menerima permintaan rakan saya Toh Puan Dr Safurah Jaafar, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) di Kementerian Kesihatan Malaysia agar memaklumkan notis berikut kepada pembaca blog dan rakan-rakan FB saya :
IF YOU WANT TO DELIVER AT HOME CALL THE NEAREST HEALTH CLINICS OR COMMUNITY CLINICS - OUR NURSES ARE TRAINED AND CREDENTIALLED Malaysia takes pride in the fact that the percentage of safe deliveries i.e. delivery conducted by a trained person in the country is 98.5% from less than 50% in the fifties. With the improvement of obstetrical care by trained midwives and doctors, the maternal mortality has declined from 700 per 100,000 live births then in the fifties to down about 27 per 100,000 today. THE MOH would like to request that any woman who undertakes a pregnancy must seek care from a trained doctor or midwife. This is because complications may arise at any time that affects either the mother or baby. Emergency obstetric care must then be available speedily to safe life. In Malaysia there are more than 2500 trained government midwives or Jururawat Desa and Registered Public Health Nurses registered who can conduct delivery at home for those pregnant mothers who are have been examined to have little if no obstetric risks. If you need any information about home birth please call any Klinik Kesihatan or Klinik Ibu dan Anak or Klinik Desa for assistance. You can also visit the MOH website (http://moh.gov.my) to locate your nearest clinic or the Family Health Development Division website. http://fh.moh.gov.my/v3/index.php/en/direktori-klinik
Saranan saya untuk para ibu yang sedang hamil dan yang bakal hamil :
1. Pastikan kehamilan anda dirancang, direncana dan dikehendaki, bukannya secara tidak sengaja atau dalam keadaan belum bersedia.
2. Dapatkan jagaan kesihatan kehamilan secara optimum diperolehi semenjak awal lagi dari pusat kesihatan atau klinik yang berdekatan
3. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mantap berkaitan kehamilan dan proses kelahiran sebagai persediaan mental
4. Jalinlah hubungan kemesraan dengan suami, ahli keluarga dan rakan taulan untuk mendapatkan sokongan emosi yang mantap
5. Pertingkatkan persediaan spiritual dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT – khatamkan tadabbur Al Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang kehamilan
6. Sekiranya memilih untuk melahirkan di rumah, dapatkan dahulu nasihat dari pengamal perubatan terlatih – sama ada anda memenuhi syarat kod putih yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Maklumkan kepada jururawat yang menjaga bila proses kelahiran bermula supaya dapat dibuat penilaian awal.
7. Sekiranya mahu kehadiran doula bersama untuk sokongan psikologikal, maklumkan kepada pengamal perubatan yang menjaga proses kelahiran anda. Permintaan anda mungkin akan dipertimbangkan bergantung kepada keadaan.
Saranan saya kepada Kementerian Kesihatan dan pasukan pengamal perubatan:
1. Pertingkatkan mutu komunikasi dengan pesakit agar hubungan antara doktor-pesakit menghasilkan kerjasama yang baik
2. Ambil pendekatan inklusif dengan mengadakan jalinan persefahaman dan engagement dengan kelompok yang mempromosikan kelahiran alternatif, agar mereka dapat memberi nasihat yang betul dan membantu ibu membuat pilihan yang selamat.
Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita untuk terus memainkan peranan yang berkesan dalam membangunkan sebuah masyarakat berilmu, bermaklumat dan sejahtera, InsyaAllah.
Loves : Dr Har
2 responses:
Terima kasih dr.har for your info!!!
Assalamualaikum dr, thank you for this post. Although I dont agree on some parts of it, I respect you for making the effort in forging some sort of tie between mothers and the medical professionals. At the moment there is too big a gap between mothers and the maternity care professionals. We need to find some common ground and increase understanding and inclusiveness.
For the betterment of mothers and babies.
Sincerely,
Nadine Ghows, Gentle Birthing Group Malaysia.
Post a Comment